Biar pun menteri kanan kerajaan Melayu Perikatan Nasional berkata mereka tidak maklum mengenai surat kebenaran syarikat arak meneruskan operasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan namun Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid menjelaskan kementerian maklum mengenai surat pengecualian bagi operasi sektor pembekalan makanan, termasuk kilang minuman keras Heineken seperti yang tular di media sosial.
Katanya, pengurusan kilang memohon kepada pihaknya untuk mengedarkan stok yang sudah sedia ada ketika PKP dan kelulusan diberikan berdasarkan pengedaran dan bukannya operasi.
Menurutnya, kementeriannya dimaklumkan mengenai jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM340 juta dan mengambil kira kepentingan semua pihak, maka kelulusan pengedaran stok terbabit diberikan.
“Ada laporan mengatakan menteri dan saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, itu tidak betul, kami tahu.
“Apa yang berlaku ialah mungkin orang ramai salah faham mengenai surat yang tular itu. KPDNHEP tidak ada kuasa memberi kebenaran beroperasi, itu di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dipetik Harian Metro.