Apabila seluruh negara dilockdown maka sektor pekerjaan formal pun terhenti.
Industri formal mula mengira kerugian hari demi hari namun situasi rakyat seolah-olah dikenakan tahanan rumah itu membuka dimensi baharu peluang pekerjaan kepada sektor tidak formal.
Sektor tidak formal yang sebelum ini sifatnya yang tidak menentu dan sering diceburi melalui atas talian kini menjadi pilihan pekerjaan sampingan dan tetap lebih banyak rakyat Malaysia.
Menurut kajian badan pemikir yang berkaitan dengan kerajaan, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dari 2011 hingga 2017, pekerjaan bukan pertanian di sektor tidak formal meningkat pada kadar 4.5% setahun berbanding pekerjaan dalam sektor formal yang meningkat sebanyak 2.1% dalam tempoh yang sama..
Bagaimanapun, sekumpulan tenaga kerja kira-kira 1.4 juta individu ini tidak mempunyai perlindungan buruh sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang juga cuti sakit, keselamatan sosial dan dana persaraan.
“Kebanyakan pekerja dalam sektor tidak formal adalah pekerja akaun yang kerja sendiri dan bekerja dari rumah,” kata kajian itu dipetik TMI
“Lebih ramai pekerja dalam sektor ini berada dalam kategori umur lebih tua berbanding sektor bukan pertanian lain,” menurut penulis utama kajian Siti Aiysyah Tumin.
“Pemerhatian ini menunjukkan subset tenaga kerja mungkin berdepan pelbagai isu lain.
“Ketidaktentuan sifat kerja dalam sektor tidak formal dapat diperkukuhkan lagi dengan kurangnya perlindungan sosial kerana status pekerjaan dan, atau risiko pekerjaan lain yang berkaitan dengan usia.”
Kajian ini berdasarkan kepada kaji selidik mengenai sektor tidak formal yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan pada 2011, 2012, 2013, 2015 dan 2017.
Tinjauan menganggap pekerja “tidak formal” jika firma yang mengupah mereka berorientasikan keuntungan dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, badan profesional atau kerajaan tempatan.