Sejak beberapa hari ini tular berita mendakwa beberapa tokoh politik dalam Perikatan Nasional yang terkenal mempunyai pendapatan di atas RM10,000 memohon Bantuan Prihatin Nasional dan diluluskan secara automatik.
Kemudian tular pula berita mendakwa beberapa ahli politik menafikan mereka memohon bantuan.
Bagi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, permohonan diluluskan walaupun tidak layak menunjukkan sistem yang digunakan untuk mengagihkan BPN amat lemah. Beliau menyeru agar kerajaan PN menyiasat kelemahan serius tersebut agar tidak lagi berulang.
“Selepas tular berita berkenaan Ahli Parlimen, Menteri, Isteri Mantan Perdana Menteri, serta Mantan Timbalan Menteri yang telah menerima kelulusan BPN, maka saya terpanggil untuk membuat semakan diatas talian untuk diri sendiri.
“Dapatan saya sungguh mengejutkan kerana saya juga didapati lulus untuk menerima bantuan tersebut.
“Ingin saya jelaskan bahawa saya bukan penerima BSH dan juga saya tidak pernah memohon untuk BPN.
“Maka persoalan yang timbul, bagaimana boleh diluluskan dalam sistem, sedangkan saya yakin kami semua tidak layak menerima BPN.
“Kesilapan ini mungkin melibatkan lebih ramai individu lain juga. Memandangkan bayaran akan di buat secara terus, saya khuatir, ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Fuziah, sumber negara harus digunakan sebaik mungkin dalam keadaan memerangi Covid-19 dan negara tidak sepatutnya membuat kesilapan seburuk itu yang mungkin membazirkan sumber.