Gelaran liberal tidak boleh diberikan kepada seseorang tanpa menyelidiki secara menyeluruh perjuangan individu terbabit.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata liberal adalah sedia mendengar pendapat pelbagai pihak dan menjamin kebebasan untuk bersuara.
Anwar berkata, bagaimanapun beliau tidak bersikap liberal dalam soal yang berkait dengan perkara membabitkan Islam.
“Kita ini liberal makna kita sedia mendengar, sedia menolak, sedia tasamuh toleransi dengan padangan, ya.
“Tapi bukan liberal sebagai seorang muslim, soal akidah nak liberal macam mana, solat lima kali sehari, saya tak liberal, puasa bulan Ramadan itu saya tak liberal.
“Tapi orang bagi pandangan, dia itu dari seorang ateis atau seorang komunis, dia memberi pandangan saya mahu dengar, saya mahu hujah, saya jawab.
“Saya tidak hukum dia, saya tidak penjarakan dia kerana pandangan dia,” katanya dalam FB live malam tadi.
Bagaimanapun, kata Anwar beliau tidak pernah menjadi anggota Liberal International atau menyertai persekutuan parti-parti beraliran liberal antarabangsa sebagaimana yang dituduh.
Selain itu, menurut Anwar, beliau juga menolak liberal dalam hal meremehkan agama, menolak akidah dan akhlak.
Namun katanya, amat malang bila ada pihak yang merompak sehingga berbilion ringgit dianggap tiada mudarat berbanding liberal hanya kerana mereka konservatif muslim.
Jelas Anwar mendengar pandangan kumpulan yang bertentangan dengan keyakinannya seperti LGBT, bukan bererti menyokong atau bersetuju dengan mereka.
“Itu kalau dianggap saya liberal kerana saya sanggup mendengar mereka itu, ok.
“Kalau tidak kalau saudara pilih satu sistem kuku besi, ya sistem macam Taliban yang semua tak boleh, semua kena hukum yang wanita pergi sekolah pun tak boleh, itu nasib kita,” katanya.