Kontroversi Menteri Kesihatan kerajaan Melayu Perikatan Nasional Dr Adham Baba berkata dunia mempunyai 500 negara menimbulkan tanda tanya adakah beliau layak untuk menjawat jawatan sepenting itu ketika negara dilanda wabak Covid 19.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang percaya Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah lebih sesuai diangkat sebagai menteri kesihatan dalam waktu segenting ini.
“Ramai yang akan setuju, bukan saja dalam negara tapi juga luar negara, sekiranya Noor Hisham menggantikannya (Adham) sebagai menteri kesihatan,” kata Lim dalam kenyataan media
Lim merujuk kontroversi kenyataan Adham sebelum ini yang menyebut beliau membuat persidangan video dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang terdiri daripada “500 negara”.
Kenyataan Adham itu menjadi bahan jenaka di media sosial dan mendapat kritikan.
Adham kemudian menjelaskan bahawa beliau salah sebut dan sebenarnya ingin mengatakan “500 peserta”.
Bagaimanapun, Lim membidas penjelasan Adham.
“Untuk mesyuarat lebih 500 peserta, ia akan melanggar peraturan penting dalam musim Covid-19, iaitu penjarakan sosial.
“Adham perlu berikan perincian dan buktikan sidang video itu yang didakwa melibatkan 500 peserta.
“Jika tidak boleh berbuat demikian, mungkin dia patut letak jawatan,” katanya.
Adham sebelum ini menjadi trending di media sosial dan merupakan carian paling popular di Malaysia berdasarkan data Google.
Menurut Google Trends, lebih 10,000 carian yang mempunyai kaitan dengan menteri berkenaan.
Kontroversi terbaru melibatkan Adham itu hadir kira-kira sebulan selepas beliau dikecam kerana mencadangkan bahawa minum air suam dapat mencegah jangkitan Covid-19.