Pada Isnin stok minyak mentah indeks West Texas Intermediate crude, atau WTI di Amerika Syarikat (AS) diniagakan di bawah paras AS$0 setong dan pertama kali dalam sejarah dunia.
Kejatuhan teruk harga minyak WTI yang menjadi penanda aras pasaran AS menyebabkan maklum balas hebat melangkaui kaunter dagangan di kontrak niaga hadapan.
Bagaimanakah harga dikira?
Harga setong minyak mentah berbeza-beza, bergantung pada faktor bekalan, permintaan dan kualiti. Bekalan bahan api jauh melangkaui permintaan sejak Covid-19 memaksa berbilion orang berhenti membuat perjalanan.
Kerana lebihan bekalan, tangki-tangki simpanan untuk WTI menjadi penuh, dan ruang penyimpanan minyak sukar didapatkan.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pada minggu lepas berkata bahawa penyimpanan di Cushing, Oklahoma, yang merupakan pusat jaringan saluran paip AS sudah mencapai kapasiti 72 peratus, setakat 10 April.
“Sudah tak ada tempat penyimpanan lagi, jadi harga komoditi itu menjadi tidak bernilai,” kata Bob Yawger, pengarah kontrak pasaran hadapan Mizuho di New York.
“Jadi apabila (harganya) negatif satu dolar, (bermakna) mereka akan bayar kamu satu dolar untuk membawa (minyak) itu keluar (dari stok).”
Harga minyak jatuh menjunam sebahagiannya disebabkan cara minyak didagangkan. Kontrak niaga hadapan adalah untuk 1,000 tong minyak mentah, dihantar ke hab minyak di Cushing, di mana syarikat-syarikat tenaga memiliki tangki-tangki simpanan dengan kapasiti kira-kira 76 juta tong minyak.
Setiap kontrak dagangan adalah untuk sebulan, dengan kontrak Mei sepatutnya luput pada Selasa (hari ini). Pelabur yang memegang kontrak Mei tidak mahu mengambil penghantaran minyak dan menanggung kos penyimpanan, lalu akhirnya, mereka terpaksa membayar pihak lain untuk mengambilnya daripada pegangan mereka.
Kontrak Jun, yang penghantarannya masih berbaki sebulan, didagangkan pada harga lebih AS$20 setong, tetapi kejatuhan harga menunjukkan bahawa kebanyakan ruang penyimpanan telah digunakan.
Kejatuhan harga pasaran kontrak niaga hadapan minyak mentah di Cushing, Oklamaha tidak semestinya bermaksud harga di stesen minyak juga akan jatuh, kata Tom Kloza, penganalisis veteran di Perkhidmatan Maklumat Harga Minyak.
“Saya fikir, ia lebih kepada perkara-perkara melibatkan pengetahuan pihak dalam industri (inside baseball) sahaja,” kata Kloza.
“Kita akan terus melihat harga gasolin, diesel dan bahan api kapal terbang menjadi lebih rendah menjelang Mei, tapi jangan jangka minyak akan diberikan (percuma) atau harga akan setanding kejatuhan dasyat yang julung-julung kali kita lihat (di padaran kontrak niaga hadapan) seperti hari ini,” katanya lagi.
Jelasnya, dengan harga minyak lebih rendah baru-baru ini, sesebuah keluarga rakyat Amerika Syarikat yang tipikal akan dapat menjimatkan kira-kira AS$150 hingga AS$175 untuk bulan ini dalam pembelian bahan api minyak mereka.
Untuk syarikat penerbangan yang kesempitan wang, penurunan harga minyak mentah membolehkan mereka beroperasi pada kos lebih murah, dalam keadaan penerbangan sedia ada pun hampir kosong kerana orang hanya tinggal di rumah gara-gara Covid-19.
Kejatuhan harga minyak mentah pasaran niaga hadapan turut menandakan bahawa syarikat penerbangan dijangkakan tidak menambah semula lebih banyak jaringan penerbangan mereka yang telah dikurangkan, kata pengalisis firma pelaburan Raymond James, Savanthi Synth.
Bagaimana pula dengan lonjakan semula ekonomi?
Sementara pelabur dan penganalisis bersusah payah meneliti aspek teknikal dalam pasaran minyak yang menyumbang kejatuhan harga, pihak lain pula cuba menggariskan apa kesannya terhadap ekonomi.
Lambat pulih harga
Sebanyak 30 juta tong minyak setiap hari – yang berjumlah 30 peratus permintaan dunia telah diletakkan ke pusat simpanan di seluruh dunia dalam masa dua ke tiga bulan lalu.
Kalau pun permintaan nanti kembali ke tahap sebelum wabak Covid-19, ia akan mengambil masa yang lama untuk menggunakan semua minyak mentah dalam simpanan itu.
“Apa pesanan pasaran tenaga kepada kamu sekarang adalah, permintaan tak akan kembali dalam masa terdekat, dan bahawa terdapatnya lebihan bekalan,” kata Kevin Flanagan, ketua strategi pendapatan tetap untuk Wisdomtree Asset Management, di New York.
Harga kontrak minyak mentah untuk Jun turut menjunam pada Isnin, jatuh sebanyak 18.4 peratus menjadi AS$20.43 setong.
Itu memberikan pandangan lebih diyakini mengenai bagaimana pedagang pasaran kontrak hadapan melihat permintaan pengguna terhadap tenaga, untuk masa depan yang terdekat ini.
Ia bukan di bawah kosong, tetapi ia sedang menjunam dengan pantas.
(Berdasarkan tukaran terkini, AS$1 = RM4.39)