Oleh: Raja Kamarul Bahrin Shah
ULASAN: Kami dari Pakatan Harapan (PH) terpaksa memohon kepada rakyat Malaysia supaya menghadapi realiti baru kerana kita tahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini jelas tidak melakukan apa yang kerajaan sendiri menyarankan rakyat melaksanakan. Banyak unsur hipokrit telah kelihatan. Tidak pernah dalam sejarah dunia harga minyak dunia jatuh sehingga bawah aras negatif USD -37.63! Negatif USD tiga puluh tujuh dollar enam puluh tiga sen. Inilah realiti hari ini yang mengerikan.
Bagaimanapun semasa harga minyak jatuh dari US60 Ke USD25, kerajaan telah melantik duta Khas ke Timur Tengah, YB Haji Hadi Awang, bertaraf Menteri yang ke-71. Semasa harga minyak jatuh dari US25 ke bawah negatif USD0, kerajaan melantik pula Duta Khas ke China, YB Tiong, bertaraf Menteri yang ke-72. Entah berapa banyak lagi pelantikan bertaraf Menteri akan diadakan sebagai habuan untuk memastikan survival kerajaan PN. Ada yang menyatakan secara lawak mungkin akan mencecah 112 supaya dijamin majoriti PN selamat hingga PRU15. Semasa Kerajaan PN menyarankan rakyat menghadapi realiti baru dunia, kerajaan sendiri tidak melakukan yang sama untuk berjimat cermat, seperti ketam ingin mengajar anaknya berjalan lurus.
Sementara rakyat diminta berkurung di rumah serta ditangkap dan ada yang disaman RM1,000, Menteri, Timbalan Menteri, Exco serta anak Menteri PN bergerak bebas dengan jamuan dan solat berjamaah lagi tanpa tindakan yang sama dikenakan. Itu adalah juga realiti baru hari ini ala cerita P. Ramlee ‘Antara Dua Darjat’. Datuk Seri Mustapa Mohamed dari Kerajaan PN telah menyatakan setiap USD harga minyak jatuh, Malaysia akan kerugian beratus juta ringgit . Bayangkan bajet Malaysia pada disember 2019 mengambil kira harga minyak di tahap USD60 berbanding dengan harga hari ini di tahap USD0! Tetapi Kerajaan PN terus menambah perlantikan bertaraf Menteri demi Menteri dan berhasrat membahagikan lagi jawatan Ketua GLC dan jawatan korporat lumayan lain kepada MP dan penyokong kerajaan sebagai habuan tanpa mengira kelayakan individu atau implikasinya. Apakah Menteri Kewangan yang dilantik dari Bank terkemuka tidak memberi nasihat sepatutnya?
Ada kelihatan kerajaan PN peduli keadaan kesihatan kewangan negara atau dunia hari ini? Mereka terus membahagikan harta negara selepas rampasan kuasa sesuka hati dan nafsu mereka. Sesuatu makhluk yang menghisap darah makhluk lain sehingga kering tidak bermaya lagi, dipanggil parasit. Parasit hanya berminat menghisap khasiat kekayaan keluar dari tubuh makhluk yang dikuasai itu tanpa mengira akibat dan nasibnya asalkan dia kenyang. Apakah kerajaan PN hari ini ada karakter mirip parasit?
Mereka kelihatan tidak mengambil kira situasi keadaan negara serta dunia atau bebanan hutang negara selagi mereka boleh melantik kroni serta kuncu mereka mengaut kekayaan negara. Tidak banyak perbezaan sikap kerajaan dari era Najib berbanding sekarang asalkan golongan mereka kenyang. Sebenarnya Malaysia amat malang kita dilanda dua wabak pendemik berbisa dalam waktu yang sama ia itu wabak global Covid-19 dan wabak tempatan parasit.
Parasit yang telah menghisap darah negara lebih 60 tahun telah dikalahkan oleh rakyat pada PRU14. Tetapi kerana pengaruhnya serta akar umbi yang agak masih wujud, parasit veteran 60 tahun berjaya mengambil alih semula melalui pintu belakang. Walaupun wabak Covid-19 merupakan wabak global berusia beberapa bulan tetapi insya Allah dengan usaha global penawarnya akan dijumpai. Wabak parasit berusia 60 tahun ini adalah lebih berbahaya kerana pengaruh tidak sihatnya yang telah berakar umbi di Malaysia kalau tidak dihapuskan segera akan menjadi gejala sebati tidak sihat rakyat untuk selama-lamanya.
Mungkin ubat dibawa oleh Kerajaan PH dahulu untuk mematikan parasit itu ada kalanya kurang enak ditelan, seperti langkah berjimat cermat, reformasi kewangan dan tiada pemberian tender secara terus ,tetapi ubat yang mujarab memanglah sedikit pahit untuk ditelan. Dalam waktu kurang 2 tahun kami tidak sempat merawat sepenuhnya penyakit 60 tahun dahulu. Allah ingin menguji dan memberi sesuatu isyarat kepada rakyat Malaysia. Tidak beberapa hari selepas PN mengambil alih kerajaan, wabak Covid-18 makin merebak luas dan harga minyak jatuh dari harga bajet USD60 sehingga di bawah USD0 untuk pertama kali dalam sejarah dunia! Rakyat perlu menilai adakah kerajaan yang mewah dan boros PN ini sesuai untuk menyelamat negara?
Rakyat ditangkap dan disaman jika melanggar peraturan yang sama yang Menteri dan Timbalan PN bebas mengadakan jamuan makan dan sembahyang berjemaah. Antara wabak global Covid-19 dan wabak parasit tempatan, parasit adalah jauh lebih merbahaya kepada kita. Parasit ini telah berada dalam kalangan kita lebih 60 tahun dan kemunculan semula parasit yang pernah ditolak rakyat ini adalah dalam bentuk lebih berbisa serta merbahaya kerana ianya pernah berakar umbi dalam badan kita. Parasit ini telah tahu segala kelemahan kita dan tahu bagaimana hendak menakluki kita sepenuhnya.
Ingatlah pesanan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat supaya ‘jangan jatuh dalam lubang yang sama dan digigit ular yang sama’, yang kini lebih berbisa dan lebih ganas.