Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) isu pelarian Rohingya menjadi barah kepada rakyat Malaysia akibat desakan dan publisiti buruk yang ditimbulkan oleh beberapa kumpulan perkauman di negara ini.
Sebelum PKP, pelarian ini masih bebas bekerja dan tidak menonjol meminta bantuan untuk meneruskan hidup. Namun apabila PKP dilaksanakan timbul isu bantuan bekalan makanan, yang mana lebih memerlukan, rakyat tempatan atau pelarian?
Bagi Presiden NGO Masssa, Mustapha Mansor Amer Mohd Isa, isu pelarian Rohingya tidak wajar dijadikan bahan sensasi sehingga mencetuskan ‘perang’ dalam kalangan netizen, apakah perlu atau tidak kerajaan membantu pelarian.
Menurutnya, pelarian Rohingya sejak beberapa tahun lalu dibantu oleh NGO-NGO Islam. Masalah yang dihadapi NGO hari ini ialah peraturan PKP yang mewajibkan sumbangan makanan diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. NGO terputus hubungan langsung dengan pelarian. Oleh itu, pelarian ini kelihatan membebankan negara sehingga menimbulkan gesaan agar mereka dihalau keluar.
“Isu pelarian ini sudah bertahun lamanya. NGO kami telah memperjuangkannya sejak Datuk Seri Dr Wan Azizah Ketua Pembangkang lagi. Masa itu pelarian ini ada 3 pilihan.
“Pertama, tetap tinggal di Malaysia dan berhak mendapatkan hak-hak pelarian yang diurus di bawah UNHCR – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kedua, Mereka dibenarkan hijrah ke negara ketiga dan terakhir, mereka balik ke Arakan dengan jaminan keselamatan dari PBB seperti di beberapa negara berkonflik lain.
“Namun sehingga kini hanya perkara 1 dan 2 saja yang boleh dilakukan. Tetapi itu pun dibelenggu masalah, sama ada dari birokrasi kerajaan atau di pihak pelarian itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mustafa lagi, NGO kendalian beliau dan beberapa NGO lain terus membantu membekalkan makanan kepada pelarian sejak bermulanya PKP.
Katanya, puak penentang pelarian tidak perlu menimbulkan isu wang kerajaan digunakan menampung pelarian. Rakyat Malaysia yang rasional masih banyak yang mahu membantu menghidupkan saudara sesama Islam.
Cuma, katanya, kerajaan Perikatan Nasional perlu memikirkan penyelesaian menyeluruh isu pelarian Rohingya dengan mendesak pihak PBB memberi jalan keluar yang lebih konkrit.
“Untuk masa depan generasi Rohingya, saya lebih cenderung mencadangkan PBB dan Myanmar mencari solusi terbaik agar mereka kembali ke Arakan.
“Saya juga berharap agar rakyat Malaysia bersabar sehingga PKP selesai dan teruskan desakan ke PBB dan Myanmar untuk penyelesaian menyeluruh.
“Kami telah lakukan pelbagai pendekatan untuk selesaikan isu ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi.