Selama ini kerajaan Pakatan Harapan ditohmah menjual banyak aset negara. Namun baru sebulan memerintah tular berita kerajaan ultra Melayu Perikatan Nasional mula cuba menjual aset negara
Perkara ini dibayangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed. Menurut beliau ura-ura cubaan menjual pegangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mencari wang meringankan beban kerajaan susulan wabak Covid-19 sukar diterima memandangkan harga aset tersebut sangat rendah ketika ini.
“Jika kami menjual aset-aset ini, ia akan menjadi jualan murah. Saya tidak pasti jika ini ialah perkara baik untuk dilakukan.
“Pada pandangan peribadi saya, jualan aset bukan perkara baik untuk dilakukan ketika ini kerana harganya, sudah tentu, sangat rendah.
“Kita tidak akan mendapat harga baik untuk apa saja yang kita jual,” katanya dalam perbincangan bertajuk “Pelan Pemulihan Selepas Covid-19: Peranan Majlis Tindakan Ekonomi” anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) semalam.
Dalam perbincangan itu, Mustapa turut menyentuh perubahan yang dibawakan PKP.
Beliau menjangkakan lebih banyak pejabat maya berbanding penyewaan ruang pejabat pada masa depan kerana rakyat sudah biasa dengan konsep bekerja dari rumah dan keperluan untuk penjarakan sosial yang merupakan kesan langsung daripada lanjutan PKP.
Katanya, pasaran hartanah juga akan terjejas.
Sebelum ini tular di internet dakwaan kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad akan menjual 74 juta saham dana kemakmuran negara itu dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Harga yang diminta untuk penjualan ini didakwa antara RM11.83 dan RM12.30 setiap satu. Harga saham TNB dalam niagaan terakhir semalam adalah RM12.30 setiap satu. April tahun lepas, Khazanah mempunyai 85 juta saham dalam TNB.