Keengganan Purtajaya melaksanakan sidang Parlimen secara maya dipertikaikan. Hal ini kerana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan meluasnya wabak Covid 19, hal yang penting seperti nikah boleh dilakukan secara atas talian.
Oleh itu, selepas kerajaan menetapkan sidang Parlimen hanya sehari pada 18 Mei ini, beberapa tokoh masyarakat dan NGO mula mengerakkan kempen agar wakil rakyat supaya mendesak kerajaan menjalankan sidang Parlimen di platform maya.
Setakat laporan ini ditulis, lebih 3,800 orang menyokong petisyen itu yang dimulakan oleh bekas ahli Parlimen Benut, Mohamed Tawfik Ismail.
Menurut Tawfik, parlimen maya boleh bersidang dengan ahli Parlimen terus patuh kepada perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Parlimen ada untuk berbahas mengenai perbelanjaan dan cadangan undang-undang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
“Inilah kebiasaan baharu. Ahli Parlimen dilarang di bawah peraturan semasa untuk bergerak ke kawasan yang mereka wakili. Dalam perniagaan, orang berurusan dalam talian tanpa hadir semuka,” katanya dipetik.
Pada persidangan sehari pada 18 Me ini, selain titah Yang di-Pertuan Agong, sidang Dewan Rakyat juga tidak akan ada sesi soal jawab bersama menteri atau sebarang usul.
Sidang itu hanya akan membahaskan rang undang-undang kerajaan melibatkan perbelanjaan berhubung langkah menangani ekonomi bagi menampung kesan Covid-19.
Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat dalam surat kepada ahli Parlimen awal bulan ini berkata sidang sehari itu selaras dengan peraturan menjaga jarak di bawah PKP.
Langkah itu bagaimanapun dibantah oleh ahli Parlimen pembangkang dan badan masyarakat. Mereka menyifatkannya meremehkan kedudukan Parlimen, ketika sidang di negara lain boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan teknologi.
Tawfik memberi contoh bagaimana ahli Parlimen di United Kingdom menyokong cadangan bersidang secara maya, yang diadakan buat julung kali dalam 700 tahun sejarahnya.
“Kalau perkahwinan yang suci pun boleh dibuat dalam talian, apa yang wajib perlu hadir sendiri?
“Kalau PM di ruang tamu ketika beliau berucap kepada kita di televisyen, adakah arahan dan nasihatnya tidak boleh dipakai?
“Saya difahamkan Agong pun buat sidang video,” katanya, merujuk mesyuarat pra Kabinet antara Seri Paduka dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Tawfik adalah anak bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman.