Berikutan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada Umno Johor kerana membolot jawatan dan tidak melayan komponen yang telah berkorban kerusi Menteri Besar, iaitu Bersatu.
Sehubungan itu, Adun Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman berkata keluhan yang disuarakan oleh Setiausaha Bersatu Mohd Solihan Badri 27 April lalu boleh diselesaikan dengan Bersatu kembali bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri Johor.
“Perkara ini boleh dibincangkan dan hubungan kami (PH) suatu ketika dulu baik dan semuanya berlaku akibat keputusan peringkat nasional yang mahukan perkara seperti hari ini terjadi.
“Semasa Bersatu menjadi komponen PH, mereka mendapat tempat yang tinggi seperti jawatan Menteri Besar yang diberikan pada mereka, namun hari ini kehadiran mereka dalam gabungan PN seperti tidak dihargai.
“Kita masih terbuka untuk berbincang membentuk suatu gabungan yang kuat bukan rapuh seperti di dalam PN hari ini yang terpaksa setiap hari mengira-gira Adun untuk menyokong mereka kerana majoriti terlalu tipis untuk membentuk kerajaan,” katanya dipetik MD.
Dalam pada itu, Adun Maharani, Nor Hayati Bachok sewaktu dihubungi semalam turut menyatakan pendirian yang sama berkenaan dengan perkara tersebut.
Katanya, hubungan yang baik di kalangan ahli sehingga akar umbi di negeri ini menjadi retak apabila keputusan dari peringkat nasional yang memutuskan untuk bergabung dengan Umno dan Pas pada hujung Februari yang lalu.
“Ada ahli yang masih keliru dengan keputusan membentuk kerajaan negeri hari ini bersama-sama PN dan kebanyakkan mereka mulai mengeluh kerana dipinggirkan oleh pucuk pimpinan yang diterajui oleh Umno.
“Saya mengajak agar Bersatu kembali semula membentuk pakatan yang kuat bagi usaha memenangkan rakyat khususnya di negeri ini serta membawa semula agenda yang telah dijanjikan semasa PRU 14 tempoh hari.
“PN pun dilihat rapuh dengan gagasan tersebut yang tidak berdaftar serta setiap hari dilihat seperti menyalahkan antara satu sama lain sehingga Bersatu menjadi tersepit dalam perkara tersebut.
“Inilah masa yang baik untuk kita muhasabah semula membina ukhuwah sesama kita dalam memacu negeri ini mengikut cara kita tanpa mengikut telunjuk sesiapa pun,” katanya.