Seluruh dunia mampu menarik nafas lega dengan pengumuman saintis China bahawa vaksin bagi wabak merbahaya Covid 19 akan disiapkan pada awal tahun 2021.
Doktor, penyelidik pacsa kedoktoran Universiti Sun Yat-sen di China, Sun Jiufeng berkata republik itu sedang membangunkan dua vaksin berbeza, dengan kedua-duanya kini di peringkat percubaan klinikal, yang dijangka siap pada bulan Mei atau Jun.
Beliau berkata sebaik sahaja keputusan fasa kedua disiapkan, mereka akan masuk ke fasa ketiga percubaan klinikal, yang mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk disiapkan dan melibatkan sukarelawan. Sekiranya berjaya vaksin tersebut boleh digunakan kepada awam seawal akhir tahun 2020 atau awal 2021
“Ketika ini seluruh dunia sedang berusaha keras untuk menghasilkan vaksin berkenaan, dan jika semuanya berjalan lancar, mungkin kita akan dapat lihat vaksin itu siap digunakan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Bagaimanapun bagi penggunaan sebenar vaksin ini, memandangkan permintaannya amat tinggi, kita boleh katakan bahawa vaksin itu pastinya boleh digunakan oleh pesakit, tahun depan,” katanya menerusi penterjemah dalam satu temu ramah eksklusif bersama dengan Bernama dan media The Star di pejabat kedutaan China di Kuala Lumpur hari ini.
Sun berkata pasukannya telah mengadakan perbincangan dengan pihak Malaysia, yang menunjukkan minat yang tingi untuk turut serta dalam proses penyediaan vaksin itu di China, terutama dalam fasa ketiga percubaan klinikal.
“Sekiranya kita benar-benar bekerjasam dalam perkara ini, tidak syak lagi ia akan dapat mencepatkan penghasilan vaksin itu, dan turut membawa banyak manfaat kepada Malaysia dalam tempoh masa yang pantas,” tambahnya.
Turut hadir dalam sesi temu ramah itu ialah ketua doktor, profesor dan penyelia pascasiswazah Perubatan Kecemasan Bersepadu China dan Barat, Li Jun, serta profesor bersekutu, penyelia pascasiswazah, ketua doktor bersekutu ICU, Hospital Rakyat Wilayah Guangdong, Wen Miaoyun.
Sementara itu Li berkata ketika ini banyak perbahasan telah timbul mengenai rawatan alternatif untuk COVID-19, yang jelas tidak menunjukkan bukti klinikal mengenai keberkesanannya.
Bagaimanapun menurutnya ubat tradisional China banyak digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 di negara republik itu, dan telah dibuktikan agak efektif.
“Kami telah berkongsi pengalaman mengenai keberkesanan rawatan ini dengan rakan sekerja dari Malaysia. Kami harap sekiranya keadaan mengizinkan, Malaysia akan memperkenalkan ubat tradisional China ini dalam merawat COVID-19 secepat mungkin untuk membawa manfaat kepada pesakit.
“Setiap rawatan tertentu ada perbezaannya, bergantung kepada pesakit dan keadaan.., jadi kami mengunakan kaedah perubatan yang berbeza bagi setiap pesakit, dan memastikan mereka sesuai dengan keadaan berkenaan,” tambahnya.
Pasukan lapan profesional perubatan daric China itu tiba di Kuala Lumpur pada 18 April dan telah menemui pakar tempatan termasuk ketua pengarah perubatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.
Semalam Dr Noor Hisham dilaporkan berkata pakar perubatan dari China itu memuji tindakan pantas dan efektif Malaysia terhadap pandemik COVID, termasuk dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).