Sidang Parlimen sehari sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan ultra Melayu Perikatan Nasional adalah sangat tidak bertanggungjawab. Apatah lagi begitu banyak undang-undang yang perlu digubal dan dipinda untuk rakyat hidup dalam norma baharu (new normal) selepas berakhirnya perintah kawalan pergerakan (PKP)
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, rakyat Malaysia yang bertanggungjawab seharusnya menurunkan tandatangan bantahan dalam talian bagi mendesak kerajaan PN mengadakan sidang Dewan Rakyat sekurang-kurangnya selama dua minggu bagi membincangkan isu Covid-19.
Katanya tanpa sidang penuh, makna demokrasi di negara ini dikosongkan, selain melanggar prinsip penting pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negara.
“Tidak masuk akal untuk kerajaan mengadakan sidang parlimen selama satu hari saja pada 18 Mei ini.
“Kerajaan juga tidak mempunyai perancangan untuk mempersiapkan sidang melalui maya serta jawatankuasa pilihan parlimen, terutama mengenai kesihatan dan penjagaan sosial walaupun rakyat didesak untuk bersiap sedia menghadapi wabak Covid-19 yang mungkin berlanjutan sehingga dua tahun ke depan – sehingga vaksin berkesan dibangunkan dan boleh diperolehi dengan meluas.
“Marilah kita menandatangani petisyen dalam talian ini untuk membawa perubahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dewan Rakyat dijadual bersidang pada 18 Mei ini namun mengundang kecaman pelbagai pihak, terutama pembangkang, kerana ia dianggap tidak wajar disingkatkan ketika negara berdepan pelbagai isu, termasuk Covid-19.
Kerajaan pada hari ini mula melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang menyaksikan kebanyakan sektor ekonomi kembali dibenarkan beroperasi.
Keadaan itu menambah tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan sidang penuh. Untuk rekod, sidang itu nanti adalah yang pertama buat PN selepas gabungan tidak berdaftar itu dibentuk melalui Langkah Sheraton.
Ketika laporan ini disiapkan petisyen dalam talian berkenaan sudah mendapat sokongan lebih 30,000 tandatangan.
Melalui petisyen berkenaan, Aliran menyatakan rasa terkejut dengan keputusan Putrajaya mengadakan sidang selama sehari ketika ia merupakan yang pertama dibuat selepas Langkah Sheraton yang membawa pembentukan “kerajaan pintu belakang”.
“Sidang parlimen sehari yang tidak masuk akal ini nampaknya hanya untuk memenuhi kehendak perlembagaan bahawa parlimen harus bersidang selewat-lewatnya enam bulan dari persidangan terakhir. Sidang terakhir parlimen sebelum ini ialah pada Dis 2019.
“Sebenarnya penangguhan itu mahu dibawa sehingga ke Julai – lebih dari lapan bulan daripada persidangan terakhir – menjadikan ia bahan ejekan terhadap perlembagaan ini yang bertujuan untuk memastikan pihak eksekutif tidak memegang monopoli kuasa tanpa pengawasan parlimen terlalu lama.
“Kami meminta sidang diadakan sekurang-kurangnya selama dua minggu dari 18 Mei (tidak termasuk cuti hari raya) – mungkin melalui telekonferensi atau dengan jarak sosial yang betul – diadakan secepat mungkin agar isu-isu kritikal dapat dibentangkan dan dibahaskan dengan segera,” kata petisyen tersebut.
Petisyen atas talian boleh diakses melalui pautan berikut: https://www.change.org/p/prime-minister-yab-muhyiddin-yassin-get-parliament-to-sit-for-2-weeks-from-18-may-not-just-1-day