Menteri Perdagangan Antarabangsa Azmin Ali dihentam lagi oleh pemimpin Umno berikutan keengganan 7 negeri melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Kali ini anggota Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan pula menganggap situasi itu sebagai memalukan dan tidak pernah berlaku sepanjang BN mentadbir Malaysia.
Menurut Abdul Rahman ada sesuatu “yang tidak kena” apabila sembilan negeri mengambil pendirian tidak melaksanakan PKPB sebaliknya mengambil pendekatan sendiri.
“Ada yang tak kena dengan komunikasinya dan sepatutnya benda ini dilakukan oleh menteri (kluster) ekonomi sebab ini dalam ruang bidang dia.
“Untuk menangani krisis seperti ini, dia perlu lakukan banyak perbincangan dan mengadakan video persidangan dengan semua orang,” katanya semalam.
Abdul Rahman yang juga bekas menteri pusat semasa zaman Najib Razak berkata, apa yang berlaku itu merupakan “tamparan hebat kepada menteri ekonomi” apabila perintah PKPB tidak dipatuhi negeri.
“Nampaknya satu tamparan hebat kepada menteri ekonomi (Azmin) kerana tidak dapat koordinasi pembukaan perniagaan selepas PKP.
“Ini juga memalukan dan belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional mengenai ketidakseragaman pelaksanaan PKPB pada 4 Mei.
Walaupun tidak memetik sebarang nama, Khaled dipercayai menuding jari kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Ekonomi, Azmin Ali.
Azmin ialah seorang daripada menteri kanan PN yang dilantik Muhyiddin selepas PN membentuk kerajaan baru-baru ini. Beliau merupakan bekas timbalan presiden PKR.
Kata Abdul Rahman, beliau bersetuju dengan pandangan Khaled kerana keputusan melonggarkan PKP adalah sesuatu yang besar dan mesti dibincangkan dengan semua kerajaan negeri bagi mendapatkan persetujuan bersama.
“Namun ia jelas tidak dilaksanakan.
“Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara,” katanya.