Selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak kebertan sekiranya Bersatu kembali bersama Pakatan Harapan (PH), kini Amanah juga menyuarakan pandangan sama.
Presidennya Mohamad Sabu berkata, pelbagai krisis dialami negara pada masa ini memerlukan PH kembali bersama dan bersatu padu.
“Keutuhan gabungan bersama Pakatan Harapan merupakan tunjang dan kekuatan dalam menghadapi segala krisis yang melanda negara dan pada masa yang sama berhadapan kerajaan pintu belakang PN,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas pandangan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH berbanding PN ekoran ketidakstabilan kerjasama politik antara Bersatu, Umno dan Pas.
Mukhriz berkata, kelangsungan Bersatu terjamin dan maruah parti itu dapat dikembalikan jika parti tersebut kembali bersama PH selepas mengalami pengalaman sangat pahit di bawah kerajaan PH tidak sampai dua bulan.
“Ini kerana Ahli Majlis dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dianggotai Bersatu telah digugurkan di beberapa negeri kecuali Kedah.
“Jika Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bersatu bersetuju dengan kenyataan saya ini, sila mengorak langkah dan kembali ke pangkal jalan,” katanya melalui kenyataan dalam laman sosial Facebooknya, 3 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, PH dipercayai sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung tinggi prinsip integriti serta tajdid, yang diperjuangkan selama ini.
“Walau bagaimanapun, Amanah berpandangan perkara tersebut wajar dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden,” kata Mohamad lagi.