Kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi menyifatkan kerajaan kudeta Perikatan Nasional (PN) memperoleh mandat rakyat disangkal keras Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kenyataan Asyraf tersebut tidak berpijak di bumi nyata kerana rakyat tidak pernah mengundi PN dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.
“Saya menyelar kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi menyifatkan Kerajaan PN memperoleh mandat rakyat
“Umum memahami PN ditubuhkan atas dasar pengkhianatan beberapa wakil rakyat yang memilih untuk melompat lalu menubuhkan kerajaan.
“Pengkhianatan mereka disambut oleh Umno dan Pas yang saya sifatkan sebagai terdesak menjadi kerajaan hingga sanggup memilih jalan belakang tanpa melalui pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Badli, sebaliknya rakyat menyifatkan kerajaan yang tertubuh secara ‘tebuk atap’ itu sebagai tidak bermaruah kerana sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat songsang.
Katanya, sekiranya Umno dan Pas benar-benar bermaruah maka mereka akan melakukan peranan sebagai Pembangkang yang baik melakukan semak dan imbang, bukan melancarkan rampasan kuasa.
“Seharusnya Umno dan Pas menolak dari awal kerjasama menubuhkan kerajaan pintu belakang dan kekal berperanan sebagai Pembangkang yang bermaruah.
“Justeru itu saya menyarankan Dr Asyraf Wajdi untuk membimbing Umno keluar dari PN demi mengembalikan maruah parti itu,” katanya.
Kritikan terhadap Dr Asyraf bertali arus sejak semalam apabila beliau mengecam keputusan Pemuda Bersatu (Armada) memutuskan tidak mahu bekerjasama dengan Umno dan kembali menyokong Pakatan Harapan.
Asyraf menganggap tindakan Armada itu sebagai ‘gila talak’ dan ‘mempermainkan mandat rakyat’.