Bersatu Johor didakwa semakin tidak sehaluan. Seolah-olah terdapat dua kem dalam parti itu yang pastinya paksi berbeza dalam menyokong Pengerusi Tun Mahathir atau Presiden Muhyiddin Yassin.
Bekas menteri besar Johor, Osman Sapian kelihatannya lebih selesa menjadi suara pembangkang dalam parti dengan menolak kenyataan Pengerusi Bersatu negeri, Mazlan Bujang kononnya pertikaian antara parti itu dengan Umno telah selesai semalam.
Osman yang turut hadir dalam pertemuan itu sebaliknya menyifatkan Mazlan berbohong.
“Tak selesai. Mazlan bohong. Dia kaki penipu,” katanya menerusi pesanan WhatsApp dipetik Malaysiakini.
Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Mazlan bagi mendapatkan respons.
Osman yang juga Adun Kempas dari Bersatu berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Mazlan yang mengatakan masalah yang wujud antara parti itu dan Umno telah berjaya diselesaikan.
BH Online hari ini melaporkan Osman memberitahu kemelut antara Bersatu dan Umno masih belum selesai dengan pertemuan bersama Muhyiddin.
“Semalam dicadangkan supaya jawatankuasa pemimpin antara parti ditubuhkan bagi membincang dan menyelesaikan masalah yang tertunggak.
“Perdana Menteri juga mahu kerjasama antara dua parti dieratkan lagi dengan keputusan dibuat perlulah menghormati semua parti di dalam PN, sekali gus tidak mengetepikan mana-mana pihak,” katanya.
Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor menggugat kestabilan politik di negeri itu sehingga timbul cakap-cakap akan berlakunya pilihan raya negeri.
Perikatan Nasional (PN) memiliki hanya 29 kerusi DUN di Johor berbanding 27 daripada Pakatan Harapan (PH). Sekiranya ada Adun PH melompat parti, ini akan menyebabkan DUN tergantung.
Difahamkan selain Mazlan, Osman dan Sahruddin, pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dan Exco Johor, Samsol Bari Jamali.
Desas desus mendakwa terdapat dua paksi dalam Bersatu Johor kencang bertiup sejak sebelum tumbangnya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.
Kem Tun Mahathir dikatakan tidak pernah setuju untuk membentuk kerajaan bersama Umno dan lebih selesa ‘melompat’ membentuk kerajaan bersama PH. Malangnya, menurut pemerhati, kelewatan ‘keputusan’ pemimpin utama Amanah Johor, terutama Timbalan Presiden Salahuddin Ayub menjadi satu halangan kepada paksi yang enggan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Apatah lagi, parti-parti komponen PH seperti DAP dan PKR ketika itu sibuk berbicara soal prinsip dan tidak mahu mengambil peluang. Namun dengan tawaran terbuka Salahuddin pada minggu lalu, sedia menerima pemimpin Bersatu Johor, maka dijangkakan tidak mustahil perubahan politik akan berlaku di Johor sebelum Hari Raya Aidilfitri ini.