Perisytiharan harta wajib dilakukan oleh setiap pemimpin parti politik sekiranya mahukan kepercayaan dari rakyat ke atas mereka. Langkah yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang amat dialu-alukan di tengah-tengah skandal kewangan yang melibatkan pemimpin politik khususnya Umno semakin menjadi-jadi.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss mencabar MB Perak dan pemimpin Umno-BN negeri yang sebelum ini disiasat SPRM atas kontroversi pengumpulan harta agar segera mengisytihar harta mereka.
“Dewan Pemuda PAS Perak terpanggil dengan kenyataan terbaru mentor Umno -BN, Dr Mahathir Mohamed yang bersetuju agar pendekatan untuk mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat membendung tindakan salahguna kuasa dan membina kekayaan peribadi serta keluarga agar dapat dielakkan.
“Umum maklum bahawa sebelum ini, pimpinan Umno hanya mengisytiharkan harta mereka hanya kepada Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sahaja.
“Bagi membuktikan kepimpinan Umno-BN benar-benar bersih, kami mencabar MB Perak Dr Zambry Abdul Kadir dan kepimpinannya mengisytiharkan harta kepada SPRM dan umum sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Pulau Pinang. “Adakah Datuk Seri Zambry dan pimpinan Umno-BN Perak bersedia menerima cabaran tersebut? Adakah cabaran tersebut sangguh disambut oleh Datuk Seri Zambry dan kepimpinan Umno / BN di Perak?
“Sudah tentu isu EXCO Kerajaan Negeri BN Perak yang pernah disiasat oleh SPRM akan terjawab jika mereka bersedia mengisytihar harta sepertimana saranan Tun Dr Mahathir tersebut,” katanya.
Tambah dr Raja Ahmad pengisytiharan harta perlulah juga melibatkan kepimpinan Pergerakan Wanita Umno Negeri Perak, Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak dan Pergerakan Puteri Umno Negeri Perak.
“Jika mereka semua masih memberikan pelbagai alasan, PAS yakin rakyat akan melihat memang benar mereka sedang dan masih meneruskan budaya membina kekayaan peribadi dan keluarga mereka sehingga kini,” sambungnya.