Kenyataan pemimpin kanan Pas beberapa hari ini disifatkan sebagai perang saraf menekan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan Kedah kerana belum ada seorang pun ADUN yang belot menyertai Perikatan Nasional.
Menurut Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi, disebabkan tiada mana-mana Adun membuat kenyataan berhubung isu itu maka kerajaan negeri berpendapat tiada apa-apa yang berlaku.
Beliau yang ditemui media selepas pertemuan tertutup lebih sejam dengan Menteri Besar, Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya juga mendapati kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa.
“Kami bincang keadaan semasa, ada juga kita sentuh (cubaan menukar kerajaan negeri), tetapi kita lihat kerajaan masih berfungsi.
“Tidak ada apa-apa kenyataan dari pihak sana (pembangkang) bahawa mereka sudah cukup majoriti setakat ini,” katanya dipetik
Spekulasi mengenai pertukaran kerajaan menjadi kencang ekoran berlaku pertemuan tertutup pemimpin PAS dan Umno Kedah di Alor Setar kelmarin.
Turut hadir Setiausaha Agung PAS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Perkembangan itu berlaku kesan tindakan PKR memecat dan menggantung sejumlah anggota mereka baru-baru ini dan dipercayai memberi kesan terhadap pendirian wakil rakyat parti itu di Kedah.
Turut dijangka akan beralih arah di Kedah adalah Adun Bersatu yang mungkin menyokong presiden mereka, Muhyiddin Yassin.