Langkah kerajaan Perikatan Nasional memilih untuk membenarkan himpunan Hari Raya Aidilfitri seramai 20 orang dibantah oleh Akademi Perubatan Malaysia
Akademi itu kecewa dengan keputusan yang mungkin bertujuan meraih populariti dalam kalangan rakyat dan akan merencatkan usaha serta hasil kerja kuat semua rakyat menentang wabak Covid-19.
Dalam kenyataan yang ditandatangani master dan 11 presiden kolej bawah akademi itu, ia mengingatkan pandemik Covid-19 hanya perlukan seorang peserta majlis untuk menjangkiti anggota keluarga yang lain.
“Kami ingin menyarankan agar sambutan berhari raya hanya dibenarkan kepada ahli keluarga seisi rumah sahaja,” katanya.
“Kita perlu beringat, betapa sukarnya membendung wabak ini dan kesulitan yang akan dialami serta sumber yang banyak diperlukan dalam proses menjejaki kontak nanti.”
Akademi itu mengingatkan kelonggaran PKPB secara keterlaluan dan tiada perincian teliti akan memberi kesan songsang kepada usaha kuat barisan depan dan pengorbanan rakyat selama ini.
“Wabak Covid-19 masih lagi kekal merbahaya sebagai ancaman nyata,” katanya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, semasa mengumumkan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat pada Ahad, berkata majlis hari raya tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa dibenarkan, di sebalik larangan umum ke atas himpunan dan kegiatan yang membabitkan sentuhan fizikal.