Proses penyingkiran pengasas Bersatu mungkin dalam perancangan namun Tun Mahathir Mohamad memberi nasihat kepada pemimpin partinya agar melakukan proses yang beradab.
Pengerusi Bersatu tidak menolak terdapat usaha untuk menyingkirkannya tetapi usaha itu perlulah berdasarkan prinsip undang-undang.
“Dan kita dapati banyak kesalahan yang dilakukan dalam percubaan untuk singkir saya.
“Saya rela disingkir tetapi dengan cara yang mengikut undang-undang parti, perlembagaan parti.
“Kalau saya nak disingkir pun, jemputlah saya,” katanya pada suatu rakaman video.
Sebelum ini, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dispekulasikan sedang merancang untuk menyingkirkan Mahathir dan anaknya – timbalan presiden parti itu Mukhriz Mahathir. Ia berlaku di tengah-tengah persaingan politik antara Mahathir sebagai pengerusi parti dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Terdahulu, mesyuarat MPT Bersatu dirancang tanpa menjemput Dr Mahathir dan Mukhriz. Kemudian mesyuarat tersebut ditangguhkan.
Mengulas lanjut, Mahathir menunjukkan bagaimana Anwar Ibrahim diberi kesempatan untuk tampil membela dirinya di hadapan Majlis Tertinggi Umno sebelum dipecat pada 1998.
“Saya dulu biasa jadi pengerusi dalam Umno di waktu mana Majlis Tertinggi Umno menyingkir Anwar.
“Dia dijemput dan dia berucap dalam mesyuarat itu,” katanya lagi.