Hasrat puak kartel yang dikaitkan dengan Azmin Ali mahu menumbangkan kerajaan negeri Selangor terbantut dengan pengakuan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu kekal kukuh.
Malah beliau menyifatkan sabotaj paling besar kepada usaha pemulihan ekonomi negeri dan negara akibat kesan penularan wabak Covid-19 adalah “ganggu gugat politik” yang berterusan daripada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan dilantik rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.
Amirudin yang mengakui wujud “usaha” sedemikian dalam pentadbirannya yakin kerajaan PH Selangor masih kuat kerana mempunyai jumlah majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita (Selangor) ada tanggungjawab besar sebagai penyumbang kira-kira 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Bayangkan jika negeri ini diganggu gugat politiknya dan hilang fokus, bagaimana kita mahu pulihkan kembali ekonomi?” katanya pada sidang media, di Shah Alam, hari ini.
DUN Selangor mempunyai 56 kerusi yang mana PH memiliki 48 kerusi, Barisan Nasional (5), PAS (1) dan Bebas (2).
Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas suhu politik di Selangor selepas negara menyaksikan Kerajaan PH di Kedah tumbang pada 12 Mei lepas susulan tindakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) keluar dari PKR, dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, Amiruddin dan beberapa ahli politik PKR yang rapat dengan beliau ditularkan baru-baru ini di media sosial akan mengikut jejak langkah ahli politik pro Azmin di Kedah yang beralih kem kepada Perikatan Nasional.