Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor akan diperkukuhkan dari segenap sudut menghadapi pelbagai kemungkinan senario politik negara.
Hal itu ditegaskan dalam mesyuarat PH Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Menteri Besar (MB) Selangor Amirudin Shari selaku Pengerusi PH Negeri di Kediaman Rasmi MB Selangor, semalam.
Menurut Setiausaha PH Negeri Selangor yang juga Setiausaha Politik MB, Borhan Aman Shah, mesyuarat yang diwakili komponen PH terdiri daripada KEADILAN, DAP dan Amanah turut membincangkan kemungkinan pilihan raya umum (PRU) diadakan pada bila-bila masa berikutan sengketa dalaman Bersatu semakin sengit.
Oleh itu, pilihan raya mengejut mungkin berlaku sekiranya PM Muhyiddin termakan desakan Umno dan Pas yang mahukan ianya berlaku.
“PH Negeri Selangor akan diperkukuhkan dan dimantapkan di semua peringkat; Parlimen, Kawasan dan Cabang merangkumi ketiga-tiga komponen bagi memastikan mandat rakyat pada PRU 14 terus dijulang dan dilaksanakan.
“PH Selangor juga akan memperkemaskan jentera pilihan raya di semua peringkat dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat juga, kata Borhan, melakukan sedikit rombakan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PH Selangor dengan melantik Azli Yusof dari Amanah sebagai Ketua Penerangan PH Negeri yang baharu.
Semua AJK PH Negeri sedia ada, katanya, masih kekal iaitu tiga orang Timbalan Pengerusi Ir Izham Hashim (Amanah), Hee Loy Sian (KEADILAN) dan Gobind Singh Deo (DAP)
Manakala Borhan Aman Shah (KEADILAN) Setiausaha, Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim (Amanah) Penolong Setiausaha, Ng Sze Han (DAP) Bendahari dan Yahya Saari (KEADILAN) Pengarah Pilihan Raya.
Dua AJK baru adalah Hamidi A. Hasan (KEADILAN) dan Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Amanah).