FAZLY RAZALLY
Ada kah berita d TV Israel ada kaitan dengan isu ini???
MAHKAMAH ISRAEL DEDAH BAGAIMANA RAKYAT MALAYSIA TERTIPU OLEH PERANG SIBER REJIM NAJIB
Saya tertarik dengan pendedahan oleh akhbar ekonomi terulung Israel, Calcalist, yang membongkar tanpa ragu lagi penggunaan sistem risikan siber yang dikendalikan syarikat Senpai oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menghadapi Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum Ke-14 pada 09 Mei, 2018.
Pendedahan ini sedikit sebanyak menjawab berbagai persoalan dan keraguan yang timbul berkenaan operasi siber Najib sendiri, yang selama ini nampak hebat dan berjaya mempengaruhi rakyat dengan menampakkan bekas Perdana Menteri itu begitu “popular” di media sosial. Tetapi adakah segalanya penuh kepalsuan?
Pendedahan ini sukar disangkal kerana ianya berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah di Tel Aviv tentang penglibatan syarikat Senpai membantu beberapa rejim-rejim yang “diragui” di seluruh dunia. Pendek kata, ia secara langsung mengaitkan rejim UMNO di bawah Najib sebagai sebuah rejim yang diragui di peringkat antarabangsa.
Adalah sukar untuk Najib berdalih dengan menuduh pendedahan-pendedahan ini sebagai fitnah, kerana ia berdasarkan pembentangan operasi-operasi sistem syarikat Senpai yang dilanggan oleh Kerajaan Malaysia pada ketika itu, di bawah arahan Najib. Ia dibentangkan oleh tiga pengasas syarikat Senpai sendiri.
Malah mahkamah itu turut diberitahu bahawa sistem RogueEye ciptaan syarikat Senpai telah dilanggan oleh kerajaan Najib melalui Jabatan Perdana Menteri (PMO), Cawangan Khas PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis untuk memantau aktiviti orang awam, aktivis politik dan pihak pembangkang menjelang PRU-14.
Perjanjian pertama telah dimetrai pada April 2018 dengan nilai US$ 1.5 juta (RM 6.5 juta) di bawah nama “Project Magnum”, manakala perjanjian fasa kedua pula melibatkan perbelanjaan sebanyak US$ 300,000 – $400,000 (RM 1.3 – 1.7 juta) dari Cawangan Khas, antara US$ 2 juta (RM 8.7 juta) dan US$ 2.5 juta (RM 10.9 juta) dari Jabatan Perdana Menteri, antara US$ 800,000 (RM 3.5 juta) dan US$ 2.2 juta (RM 9.6 juta) fdari SPRM dan RM 9.6 juta lagi dari pihak polis.
Calcalist melaporkan Fasa kedua melibatkan objektif yang berbeza memandangkan UMNO telah tewas dalam pilihanraya umum ke-14.
Langganan ini dimetrai melalui sebuah syarikat perantara di Cyprus, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Bacaan ini agak menarik kerana menimbulkan persoalan terhadap Najib dan dalam masa yang sama turut memberi gambaran sebenar tentang penularan penggunaan ratusan, malah ribuan akaun palsu di media sosial yang dilihat berleluasa sejak 2018.
Rupa-rupanya sistem yang dicipta oleh Senpai ini mengotomasikan data mining atau perlombongan data termasuk melalui kaedah akaun palsu melalui avatar atau pengkalan induk.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa ini bukan tuduhan oleh saya, tetapi berdasarkan laporan kemukaan bukti kes perbicaraan syarikat Senpai di mahkamah Tel Aviv seperti dilaporkan oleh akhbar Calcalist.
Di sini timbul beberapa persoalan.
1) Jadi apakah ribuan reaksi atau komen-komen berbentuk sokongan atau pembelaan terhadap Najib dan kuncu-kuncunya, serta yang berbentuk tohmahan, cacian dan hinaan terhadap elemen pro-Pakatan Harapan, yang banyak didapati menggunakan akaun palsu di media sosial, ini menggunakan sistem yang dilanggan daripada syarikat Zionis Israel ini?
2) Menurut pendedahan di mahkamah Tel Aviv tersebut, langganan sistem RogueEye yang diuruskan Senpai itu telah disambung selepas kekalahan BN di PRU-14 yang lalu. Jadi apakah elemen-elemen yang meniup api perkauman dan keagamaan yang banyak didapati dimainkan oleh akaun-akaun media sosial yang diragui ketulenannya, adalah sebenarnya produk keluaran Israel yang digunakan untuk membakar sentimen-sentimen sebegitu di media sosial?
3) Apakah populariti Najib di media sosial juga dipacu oleh kepalsuan ini sehingga memperdaya rakyat? Berapa banyak komen di laman Facebook Najib sebenarnya diotomasikan oleh sistem Israel ini, jika ya?
4) Bolehkah Najib menidakkan tuduhan-tuduhan bahawa beliau telah berpakat dengan elemen-elemen luar setelah pengakuan dibuat oleh syarikat Israel ini sendiri di mahkamah Tel Aviv?
5) Apakah polisi dan pendirian berbentuk bantahan keras terhadap rejim Zionis Israel yang berpaksikan penindasan terhadap Palestin cuma satu lagi sandiwara oleh Najib, sama seperti kepalsuan cintanya terhadap etnik Rohingya yang ditindas dan dianiaya oleh rejim Myanmar tidak lama dahulu?
Segalanya hanya boleh dan perlu dijawab oleh Najib pada kadar segera.
Di sini saya sertakan link ke laporan akhbar Calcalist, Israel tersebut:
https://www.calcalistech.com/ctech/articles/0,7340,L-3828013,00.html
Sekian.