Dalam pengumuman pakej ransangan berjumlah RM250 bilion menghadapi wabak Covid 19, Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat akan menikmati potongan bayaran bil elektrik sehingga 50% sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun apabila Tenaga Nasional Berhad kembali aktif memeriksa meter elektrik pengguna sejak pertengah Mei lalu, banyak rungutan terdengar dalam kalangan rakyat berhubung amaun bil elektrik melambung tinggi.
Kenaikan bukanlah akibat pengguna tidak faham bacaan elektrik melebihi dua bulan tetapi didakwa amaun melebihi nilai dua bulan pada hari-hari biasa penggunaan.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Akmal Nasir, rungutan rakyat itu berpunca daripada dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang keliru dan bukannya kelemahan rakyat memahami bacaan meter elektrik.
“Perdana Menteri pada hujung Mac mengumumkan kerajaan akan memberikan diskaun elektrik sebanyak 15% – 50% sebulan. Malah diskaun ini diumumkan berkuatkuasa dari April 2020 selama 6 bulan.
“Diskaun yang dinyatakan mengikut blok tarif iaitu; diskaun 50 peratus bagi penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt; 25 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. Selebihnya diskaun 2 peratus.
“Pengumuman ini dibuat lebih daripada 2 bulan lalu namun sepanjang isu kenaikan bil elektrik dibangkitkan, Menteri masih gagal memberi penjelasan mengenai diskaun kepada pengguna.
“Adakah pengguna berhak menikmati diskaun ini sehingga Oktober 2020 atau tidak? Ini adalah isu pokok yang perlu diselesaikan,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
Selain itu, Akmal juga membangkitkan isu bacaan bil melebihi sebulan dan biasanya dikenakan caj tambahan serta menghilangkan diskaun yang dijamin kerajaan.
Beliau menyalahkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dr Shamsul Anuar Nasarah kerana tidak menyelesaikan asas kekusutan itu.
“Ini menimbulkan rungutan kerana kekhuatiran pengguna bahawa penggunaan elektrik yang melebihi blok tarif terendah akan dikira sebagai blok tarif berikutnya yang lebih tinggi. Perkara ini dapat diselesaikan dengan mengambil bacaan secara prorata yang memang menjadi amalan TNB.
“Sebenarnya tidak perlu timbul mengenai kekeliruan kaedah pengiraan bil jika Menteri komited daripada awal untuk membuat penjelasan yang mudah difahami,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal menuntut agar diskaun yang diumumkan oleh Perdana Menteri direalisasikan.
Katanya, keuntungan yang diperoleh oleh TNB pada tahun ini dan juga terutamanya akibat peningkatan penggunaan elektrik di kawasan kediaman dipulangkan kepada rakyat.
“Ini penting dalam keadaan ramai yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa berdepan dengan pendapatan yang lebih rendah,” katanya lagi.