Sebelum rampasan kuasa Perikatan Nasional (PN), Pas dan Umno berkata ketidakstabilan politik Melayu adalah disebabkan DAP yang cuba menguasai Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan.
Namun selepas dua bulan memerintah malah menguasai begitu banyak Kerajaan Negeri, politik Melayu khususnya tidak juga berubah lebih baik.
Bagi Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Saqif Ansorullah, beliau mempersoalkan hala tuju PN khususnya di Parlimen Bagan Serai.
Pengerusi Biro Dakwah itu berkata, tahap hubungan politik antara parti gabungan dalam PN di Bagan Serai yang berubah-ubah biar pun tanpa pengaruh DAP dalam kerajaan negeri.
Menurut bekas calon PH Dun Selinsing itu, hubungan Pas dan Umno sebelum PN menguasai kerajaan sangat akrab tetapi berbeza selepas mereka merampas kerajaan Februari lalu.
“Sebelum terbentuk kerajaan PN di Persekutuan dan negeri Perak, Pas dan Umno amat rapat dengan siri penjelajahan siri ceramah di Bagan Serai.
“Antara tokoh yang bersama atas pentas (ceramah) ialah YB Selinsing (Umno) YB Alor Pongsu (Umno) dan YB Gunung Semanggol (Pas),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, Ahmad Saqif berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol dari Pas, Razman Zakaria dilihat lebih mesra dengan Ahli Parlimen Bagan Serai dari Bersatu, Datuk Noor Azmi Ghazali selepas kerajaan PN terbentuk.
“Dengan ‘banner’ hanya diletakkan gambar YB Parlimen (Bagan Serai) dan YB Gunung Semanggol. Persoalannya di manakah gambar YB Selinsing (Mohamad Noor Dawoo) dan Alor Pongsu (Sham Mat Sahat)?
“Yang menjadi kehairanan di dalam gabungan PN tiada DAP di Bagan Serai, tapi kenapa masih tidak boleh bersama?” ujar Penyelaras DUN Selinsing itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Saqif juga mempertikaikan sama ada muafakat politik Pas di Bagan Serai dengan Umno hanya berlaku sebelum berkuasa sahaja.
“Apakah ini cerminan awal dinamika politik gabungan parti-parti Melayu menjelang PRU-15? Apakah wujud kemungkinan parti politik akan bertanding bersendirian?” soalnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua parti politik akhirnya akan mengakui bahawa gabungan politik adalah ijtihad atau kaedah untuk mengambil alih pentadbiran sesebuah kerajaan.