Wabak Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac lalu telah melumpuhkan ekonomi. Namun apabila ekonomi mula dibuka pada Mei perbalahan politik pula muncul dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perbalahan tersebut hanya membuat pelabur asing enggan menyertai ekonomi Malaysia, kata Manogaran, Timbalan Pengerusi DAP Pahang.
Menurut Manogaran, Kerajaan PN tidak boleh lagi berbalah dalam keadaan pembuangan pekerja yang semakin meluas dan beberapa industri sedang tenat atau mereka perlu mengembalikan Kerajaan Persekutuan kepada Pakatan Harapan.
“Dapat dilihat walaupun negara sedang menghadapi masalah wabak Covid-19, keadaan politik di Malaysia adalah tidak stabil. Bukan sahaja terdapat perbalahan di antara puak-puak dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun tiada halatuju yang jelas untuk membuka semula ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Suarapakatandaily.
Beliau menegaskan keadaan sebegini tidak patut berterusan sebab ia boleh menjejaskan lagi ekonomi negara yang sudah pun lemah apabila pelabur asing mula menjauhkan diri sejak Februari lalu.
“Oleh kerana ketidakstabilan politik dan aktiviti percaturan politik yang berlebihan, maka tiada tumpuan diberi kepada isu ekonomi. Masing-masing sibuk merebut kuasa atau bertungkus-lumus mengekalkan kuasa.
“Setakat ini, apakah rancangan baru untuk membuka semula sekolah? Itupun satu tanda soal juga,” sambung Manogaran.
Beliau memberitahu sehingga hari ini masih terdapat ramai orang yang tidak gembira Pakatan Harapan hilang kuasa walaupun telah mendapat mandat rakyat. Ini adalah kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen tetapi koalisi yang kalah pula jadi pemenang pada ketika ini.
“Oleh yang demikian saya berharap demi berlaku adil kepada semua pihak, tidak kira ahli politik mahupun rakyat biasa, Parlimen harus dibubarkan untuk Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan supaya mana-mana koalisi yang menang nanti akan dapat berkuasa dan memimpin dengan mandat rakyat dengan sepenuhnya.
“Juga tiada perbalahan akan timbul lagi sebab rakyatlah yang menentukan masa depan negara,” tegas Manogaran.