ULASAN: Sejak PN ambil alih pentadbiran Malaysia, laungan dan teriakan ini selalu berkumandang:
“Tun Dr Mahathir dan Lim Guan Eng tipu rakyat Malaysia!”
Dikatakan kerajaan tidak mempunyai duit dan perlu berhutang untuk berbelanja tetapi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, berbeza pula dakwaannya.
Oleh kerana itu, ada NGO membuat laporan polis berkenaan masalah kewangan negara semasa rejim Pakatan Harapan memerintah lantas penubuhan RCI untuk siasat isu Bon Samurai, penjualan aset Khazanah, Tabung Haji, LTAT dan sebagainya dilaksanakan.
Semenjak wabak COVID-19 melanda negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah empat kali umumkan pakej rangsangan ekonomi termasuk yang pertama diumumkan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri Interim:
(I) Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) sebanyak RM10 bilion disuntik dalam ekonomi.
(ll) PRIHATIN RM25 bilion.
(III) PRIHATIN SME sebanyak RM10 bilion
(Iv) PENJANA RM15 bilion; Jumlah keseluruhan RM60 bilion.
Rakyat menjangka Kerajaan PN tidak perlu meminjam kerana cukup mempunyai dana dan rizab yang besar, tidak seperti Kerajaan PH yang kedekut dan menipu rakyat kata tiada duit. Menteri Kewangan pula merupakan bekas pegawai bank, sudah tentu pandai cari duit dan bijak pula berbelanja.
Apabila ditanya oleh pemberita di mana sumber kewangan bagi membiayai pakej rangsangan ini, Tengku Zafrul menjawab “We will be looking into the eco-system…”. Sudah terang lagi bersuluh sebenarnya beliau sendiri tidak jelas wang itu datang dari mana dan melalui apa.
Akhirnya baru kita dapat tahu apabila beliau ditemu ramah oleh agensi berita Reuters dan dipetik oleh The Edge Markets bahawa Kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan pakej rangsangan COVID-19 ini dan akan menyebabkan defisit bajet menjadi sekali ganda dari yang telah diluluskan di dalam bajet 2020.
Bajet 2020 yang dibentangkan oleh PH tahun lepas dan diluluskan akan menyaksikan defisit bajet sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2% dari KDNK. Defisit ini akan ditampung melalui hutang awam. Dengan pakej rangsangan pula sebanyak RM60 bilion lagi perlu Kerajaan berhutang menjadikan jumlah hutang bagi tahun ini saja menjadi RM111.7 bilion atau 6.9% dari KDNK.
Dengan jumlah hutang sebanyak RM111.7 bilion bagi tahun 2020 dicampur dengan hutang yang masih belum langsai akan menyebabkan hutang awam negara melebihi 55% dari KDNK dan ini memerlukan kelulusan dari parlimen.
Jelaslah berdasarkan kenyataan YB Menteri Kewangan sebenarnya apa yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir dan Lim Guan Eng sebelum ini adalah benar, negara perlu berhutang jika bajet defisit. Saya ucapkan selamat membuat laporan polis kepada NGO yang berkenaan pada 12 Jun 2020 di IPD Dang Wangi.
Amiruddin Hamzah
Kubang Pasu, Kedah