Pengkhianatan politik yang dilakukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi mengguris perasaan rakyat Selangor, lebih-lebih lagi pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menggesa Dr Daroyah segera melepaskan kerusi yang beliau menangi atas tiket PH bagi mengembalikan mandat ke tangan rakyat untuk dilakukan pemilihan semula.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dr Daroyah yang mengumumkan keluar dari KEADILAN.
“Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat yang telah memberi mandat kepada PH mentadbir Selangor dalam PRU 14 yang lepas.
“Susulan itu, saya menggesa beliau meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri Sementa sekiranya masih bermaruah. Manakala peletakan jawatan beliau selaku Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor akan diuruskan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor melalui Speaker selanjutnya,” kata Amirudin dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor berkata, keutamaan Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini adalah menggembleng inisiatif membantu rakyat Selangor yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19. Tindakan meninggalkan Kerajaan Negeri pada ketika ini, katanya, adalah tidak terpuji.
“Saya yakin ADN KEADILAN serta semua lapisan jentera KEADILAN, terutamanya Ketua-ketua Cabang KEADILAN merasa mual dengan politik separa matang yang tidak berkesudahan.
“KEADILAN dan PH Selangor beriltizam berkhidmat sedaya-upaya demi menghormati mandat rakyat,” ujar Amirudin lagi.
Semalam Dr Daroyah mengumumkan meninggalkan KEADILAN bersama beberapa anggota KEADILAN yang lain. Wanita KEADILAN Selangor dalam satu kenyataan telah menjangka keputusan yang akan dibuat oleh Daroyah itu, sebaliknya mereka mengumumkan taat setia kepada kepimpinan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi MPN Selangor Amirudin Shari.