Hayat jawatan Menteri Besar Johor bagi veteran Umno Johor Hasni Mohammad masih menjadi teka-teki. Apakah beliau akan memerintah lama atau dijatuhkan oleh Pakatan Harapan selepas berlakunya perubahan Kerajaan Persekutuan yang dijangka dalam masa terdekat.
Terbaharu, Hasmi tidak menolak kemungkinan menjadi menteri besar paling singkat berikutan ketidakstabilan politik yang berterusan.
Secara bergurau Hasni berkata beliau juga mungkin akan dikenali sebagai ‘menteri besar Covid-19’.
“Saya datang di tengah-tengah penggal pentadbiran. Masih lagi berbaki lebih kurang dua tahun setengah sebelum pilihan raya yang seterusnya. Itu pun, jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal.
“Jika itu (pilihan raya awal) berlaku, saya mungkinlah Menteri Besar yang paling singkat antara yang singkat. Mungkin juga digelar Menteri Besar Covid-19. Asyik sibuk berurusan tentang Covid-19 semata-mata,” katanya dipetik
Hasni merupakan menteri besar Johor ketiga sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008.
Beliau memegang jawatan itu pada penghujung Feb lalu selepas Bersatu mengumumkan keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan Perikatan Nasional dengan BN dan PAS.
Hasni menggantikan Sahruddin Jamal dari Bersatu yang berkhidmat selama 10 bulan sebagai menteri besar Johor dari Apr 2019 sehingga Feb 2020.
Sebelum Sahruddin, Osman Sapian memegang jawatan berkenaan selama 11 bulan bermula Mei 2018.
PN Johor menguasai 29 kerusi DUN berbanding PH yang memiliki 27 kerusi.
PH sebelum ini mendakwa mereka akan dapat merampas kembali kerajaan negeri di Johor.
Ini menimbulkan teguran dari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang memberi amaran baginda akan membubarkan DUN jika ada perebutan kuasa di negeri itu.