Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan yang sangat terhad sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) 15 dibuat secara tergempar tahun ini.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, penyokong PH di luar negara sukar untuk balik mengundi kerana perintah kawalan pergerakan di negara-negara tempat mereka bekerja.
Oleh itu, katanya, PH tidak mempunyai pilihan selain mengambil kerajaan dari tangan Perikatan Nasional dengan segera. Dengan cara itu sahaja masa hadapan PH lebih terjamin.
Katanya, jika formula untuk kembali berkuasa ialah melantik Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan, maka ia perlu disokong demi kelangsungan politik PH.
“Ramai penyokong PH tidak bersetuju. Namun, apa boleh kita buat? Masa semakin suntuk dan Tun Dr Mahathir mempunyai cukup sokongan. Oleh itu, kita tidak ada pilihan melainkan menyokong dia.
“Selain dari itu, pihak musuh sedang kuat memukul gendang PRU15. Jika Parlimen dibubarkan secara mengejut pada bulan Julai depan untuk PRU15 pada Ogos, kelebihan adalah memihak kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebab dalam masa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini, ramai penyokong PH berada di luar negara dan akan sukar balik mengundi sebab penerbangan antarabangsa adalah terhad.
“Justeru itu, kita mesti mengambil-balik Putrajaya pada bulan Jun ini juga. Semakin lama kita menunda tindakan kita, semakin kuat pihak musuh kerana mereka sudah lama menguatkan kedudukan melalui pemberian pelbagai habuan yang lumayan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Ng menegaskan walaupun ramai penyokong PH tidak bersetuju dengan formula Tun sebagai PM, ramai juga yang berkata penyokong PH mesti mengutamakan faktor paling penting, iaitu pengembalian semula PH ke Putrajaya dan calon PM merupakan faktor kedua
“Mereka yang bersetuju untuk Tun menjadi PM menegaskan bahawa perjanjian hitam putih mesti ditandatangani oleh Tun Dr Mahathir dan Anwar yang akan membolehkan Tun menjawat jawatan PM hanya untuk 6 bulan. Beliau mesti menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas 6 bulan itu.
“Semua penyokong PH tidak mahu Tun berlengah-lengah lagi apabila tiba masa untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar seperti yang telah berlaku sebelum ini,” jelas Ng lagi.