Keazaman Pakatan Harapan untuk merampas kembali Kerajaan Persekutuan belum berkubur. Buktinya Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata PH sedia menjadi perantara bagi mendamaikan hubungan antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim
Khalid mengakui keadaan agak ‘teruk’ apabila Tun Mahathir merajuk dengan Anwar dan mahu memutuskan hubungan. Namun katanya jalan untuk penyatuan masih ada cuma penyokong perlu bersabar.
“Setakat ni, lepas kenyataan itu, memang nampak kurang positiflah, tapi tak menjadi alasan untuk kita tak meneruskan usaha kita.
“Ini bukan satu perkara yang kita boleh mengharapkan natijahnya dengan segera.
“Sepertimana pada 2018, kita telah berjaya mendamaikan di antara Tun (Mahathir) dan parti yang dipimpin oleh Anwar, insya-Allah, kita akan berjaya sekali lagi. Tapi kena berusahalah,” katanya dipetik Malaysiakini.
Mengulas lanjut, kata Khalid, Amanah bersama DAP akan tetap dengan keputusan PH plus perlu dikukuhkan bagi mengambil alih semula kerajaan daripada PN.
Ketika disoal tentang keyakinannya mengenai hubungan kedua-dua pemimpin itu, Khalid memberi bayangan bahawa yang paling penting kini adalah usaha bagi memulihkan hubungan mereka.
“Usaha kena buat,” jawabnya ringkas.
Kerajaan PH tumbang penghujung Februari lalu selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengeluarkan parti itu dari gabungan berkenaan, manakala Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Krisis politik selama seminggu itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baru pada 1 Mac dan menubuhkan gabungan kerajaan baru.