Oleh: Muhammad Hafez Darwis
Usah mimpi PH akan menjadi kerajaan semula jika ia tidak kukuh. Sebab tumbangnya kerajaan PH akibat “Langkah Sheraton” adalah kerana ia tidak cukup kukuh, selain terdapat mereka yang menjual prinsip dan sanggup bersekongkol dengan perasuah.
Mengukuhkan PH dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, prokebajikan rakyat dan antirasuah adalah prasyarat sama ada untuk mendapatkan semula mandat rakyat pada PRU14 yang lalu mahupun bagi menghadapi pilihan raya mengejut.
Malah untuk menjadi pembangkang yang berkesan, berbisa dan menyengat pun memerlukan pengukuhan PH. Justeru, mengukuhkan gabungan adalah agenda yang berterusan dan tidak boleh dihentikan.
Dalam sejarah negara, tiada parti politik yang memegang kuasa pusat secara bersendirian. Semuanya melalui kaedah membina wadah bersama; sama ada dalam bentuk pakatan, barisan, muafakat atau perikatan. Kuncinya wajib bersama, bukan bersendirian.
Bersama-sama memerangi rasuah, ketidakadilan dan kezaliman dalam satu wadah yang kukuh, bukan yang runtuh. PH sebagai satu wadah bersama perlu diperkukuhkan.
Keperluan untuk membina dan mengukuhkan wadah bersama adalah asas, hakikat dan sifat politik Malaysia yang masih belum berubah sehingga sekarang dan tak akan berubah untuk suatu jangka masa yang panjang, selagi wujudnya kerencaman etnik, agama, budaya, bahasa, wilayah kenegerian, ideologi dan kepelbagaian pandangan politik.
Ini yang perlu difahami dan dimasukkan ke dalam otak aktivis-aktivis parti komponen PH. Menerusi beberapa kenyataan, mereka menggambarkan seperti parti masing-masing boleh bergerak sendirian tanpa memerlukan sokongan parti lain.. Kenyataan mereka naif dan keanak-anakan.
Benar, memang mereka boleh bergerak bersendirian. Tapi bergerak ke mana? Ke kerusi pembangkang selama-lamanya? Jika itu yang menjadi matlamat, dengan tidak sampai 50 kerusi Parlimen, bagaimana mungkin mereka boleh menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan?
Pengukuhan PH adalah agenda yang tidak boleh dikompromi sama ada tujuannya untuk mendapatkan kembali mandat yang telah dirompak mahupun sekadar menjadi pembangkang yang berkesan selama-lamanya.
Tetapi jika tujuannya untuk menjadi pembangkang selama-lamanya, mungkin wadah NGO lebih sesuai buat mereka yang ingin bergerak sendirian ini.
NGO tak perlu pening kepala bertarung dalam pilihan raya untuk menang kerusi, tak perlu merajuk kalau tak dapat jadi calon, tak perlu bertumbuk dalam pemilihan parti. Malah jutaan wang ringgit tak perlu dikeluarkan untuk berkempen. Cukup sekadar membangkang sudah pun memenuhi kriteria semak dan imbang sebuah NGO. Buat mereka ini wadah NGO mungkin lebih sesuai.
Wadah bersama dalam sebuah pakatan parti politik tentunya lebih rumit. Membina wadah yang terdiri daripada pelbagai parti dengan pelbagai kerenah, kepentingan dan aliran pandangan memerlukan kehalusan, kecermatan, ketelusan, kebertanggungjawaban dan kelunakan bagi memastikan kerjasama terus mengukuh. Ia adalah satu kerja seni.
Seni membina dan menjambatani kepelbagaian yang ada untuk membentuk satu pakatan yang utuh. Meruntuh jambatan yang sudah dibina adalah kerja mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama dan tenaga yang banyak. Apabila sudah runtuh, untuk membina semula bukanlah kerja mudah.
Justeru, tindakan beberapa aktivis parti komponen PH yang mengeluarkan kenyataan yang tidak halus, tidak cermat dan bercanggah pula antara satu sama lain di ruang awam adalah resepi mudah untuk meruntuhkan jambatan yang telah dibina itu.
Kebebasan bersuara individu dalam parti politik perlu diimbangi dengan kebertanggungjawaban untuk memastikan wadah yang telah dibentuk bersama terus kukuh dan utuh.
Akan tetapi kita semua sedia maklum usaha pengukuhan ini tersekat di titik paling rumit dan kusut iaitu berhubung isu siapa yang lebih strategik untuk diangkat menjadi perdana menteri.
Kekusutan persoalan ini tak akan selesai jika wujud serang-menyerang antara parti komponen PH. Musuh PH – sama ada di luar atau di dalam parti – memang menunggu “bola tanggung” seperti ini untuk terus mengadu domba mendorong perpecahan. Kalau PH pecah siapa yang untung?
Bergerak sendirian bukanlah jalan untuk mengalahkan Perikatan Nasional (PN). Bergerak sendirian juga bukan alternatif untuk menjadi pembangkang yang berkesan.
Justeru itu, PH perlu diperkukuhkan dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, prokebajikan rakyat dan antirasuah. Persoalan siapa yang akan menjadi perdana menteri, sama ada Mahathir atau Anwar, perlu terus dibuka dan dibahaskan sehinggalah uatu kesepakatan dicapai dan dituntaskan oleh PH dan sekutunya yang lain.
Setakat ni persoalan itu belum diputuskan. Mungkin soalan yang lebih membantu untuk menguraikan kekusutan ini boleh dibahagikan kepada dua; pertamanya, siapakah yang lebih berkemungkinan untuk memperolehi sokongan majoriti daripada anggota parlimen pada sidang parlimen 13 Julai nanti – Anwar atau Mahathir?
Soalan ini menumpukan kepada kaedah mendapatkan kembali mandat rakyat melalui jalan undi tidak percaya di sidang Parlimen terhadap Muhyiddin Yassin. Susuk yang dipercayai boleh mendapat jumlah anggota parlimen yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan PN seharusnya dipilih untuk mengikut syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.
Soalan kedua pula lebih menumpukan kepada kaedah memperolehi kembali mandat rakyat melalui jalan pilihan raya mengejut (jika ia berlaku). Bagi soalan ini, apa yang lebih penting adalah antara Anwar dan Mahathir, siapakah yang lebih berkemungkinan untuk mendapat sokongan pengundi di seluruh Malaysia.
Jawapan kepada persoalan ini tentunya memerlukan semacam penyelidikan atau kajian empirikal yang akan menunjukkan siapa yang lebih layak – Mahathir atau Anwar?
Atau mungkin sahaja ada calon lain dari PH Plus yang lebih diterima oleh pengundi Malaysia, selain mereka berdua.
Apa pun jawapan kepada dua soalan ini, perkara yang paling mustahak dan menjadi asas kepada kekuatan PH, sama ada untuk mendapatkan semula mandat melalui undi tak percaya atau menghadapi pilihan raya mengejut ialah – PH wajib dikukuhkan.
Naratif yang harus dijadikan pegangan kepada aktivis PH adalah memperkukuhkan gabungan dan bersama pembangkang lain untuk terus membuka ruang kesepakatan bersama.
Itu naratifnya – mengukuhkan, bukan meruntuhkan.