Penggunaan kumpulan samseng yang berleluasa untuk menghalang ceramah dalam beberapa program anjuran Asal Bukan Umno (ABU) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) serta ceramah Pakatan Rakyat (PR) tidak akan dibiarkan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin menegaskan, pada masa hadapan demi menjamin keselamatan hadirin yang mendengar ceramah serta penceramah AMK akan mempraktikkan tangkapan awam bagi menghalang mana-mana pihak melancarkan provokasi.
“AMK memohon agar polis mengambil tindakan segera ke atas samseng yang mengganggu ceramah. Tindakan polis yang memerhatikan sahaja kejadian sangat tidak membantu. Dalam hal ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan agar AMK menggunakan kaedah tangkapan awam ke atas mana-mana pihak yang mahu mencetuskan provokasi
“Tangkapan awam dibenarkan di bawah Seksyen 27, Kanun Acara Jenayah. Di mana individu boleh menahan seseorang yang pada pandangannya melakukan kesalahan dan orang yang ditahan perlu dibawa ke balai polis berhampiran,” kata Shamsul.
Tegasnya, perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat pemuda PR dalam masa terdekat. Sekiranya bersesuaian maka Unit Amal PAS dan Unit Komando AMK akan melaksanakan kaedah tersebut sebagai langkah terakhir mengelak berlakunya kekecohan
Mengulas taktik anti-demokrasi yang berleluasa digunakan, Shamsul bersetuju BN telah berada di pusingan akhir kekuasaan. Mereka gentar melihat kebangkitan rakyat yang tidak lagi termakan tipu daya yang mereka hidangkan selama ini.
“Tindakan menghalang ceramah menggunakan samseng merupakan taktik paling kotor dalam politik untuk menghalang satu pihak lain mengemukakan hujah.
“Inilah pusingan terakhir politik BN. Setelah penggunaan media tidak berkesan, mencetak risalah fitnah dan VCD lucah ditolak rakyat, maka mereka gunakan kekerasan. Sebenarnya taktik ini menjelaskan kepada rakyat siapakah sebenarnya ganas dan rakyat bolah melihat keganasan BN,” bidasnya.