PM Muhyiddin Yassin berdepan ujian getir apabila Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki memberi kata dua kepada beliau untuk membubarkan Parlimen sekiranya usul yang dibawa menggugurkan Speaker hari ini gagal.
Asyraf berkata demikian semalam merujuk kepada empat usul Muhyiddin di Dewan Rakyat, iaitu untuk menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker, kemudian menggantinya dengan Azhar Azizan Harun, usul menyingkirkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai timbalan speaker dan kemudian menggantikannya dengan Ahli Parlimen Pegerang, Azalina Othman.
“Jika gagal, bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah tidak lagi memiliki legitimasi dan majoriti untuk meneruskan hayat pentadbiran yang ada.
“Maka kerajaan tiada pilihan lain melainkan mengadap Yang DiPertuan Agong untuk membubarkan parimen,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Namun, Asyraf berkata, dia berharap agar pemerintahan PN dapat dipertahankan demi kepentingan rakyat.
Menurut persidangan Dewan Rakyat sebelumnya, Muhyiddin mendapat sokongan 113 daripada 222 anggota Dewan Rakyat.
PN terdiri daripada Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS, STAR dan kumpulan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.
Pakatan Harapan mempunyai 91 Ahli Parlimen sementara blok ketiga yang terdiri daripada kumpulan Dr Mahathir Mohamad, Warisan dan PSB mempunyai 18 Ahli Parlimen.
Kedua-dua blok menentang untuk menukar speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, menurut Perlembagaan Persekutuan jawatan PM tidak terjejas andainya Muhyiddin gagal menukar Speaker dan tidak perlu beliau menghadap Agong membubarkan Parlimen.
Namun jika Ariff kekal sebagai Speaker, sangat pasti beliau akan membenarkan pembentangan usul Undi Tidak Percaya terhadap PM yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Mahathir Mohamad dalam sesi persidangan kali ini.