KAHERAH, Suruhanjaya Pilihanraya Presiden Mesir telah menangguhkan pengumuman tarikh pilihanraya yang sepatutnya diumumkan pada Ahad lalu ke suatu tempoh yang terdekat bagi memastikan pengundi di luar negara dapat mengundi. Akan tetapi mereka menegaskan bahawa pengumuman keputusan pilihanraya tetap akan dikemukakan sebelum berakhirnya Jun depan.
Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya merangkap Pengerusi Mahkamah Perlembagaan, Farouk Sultan memberitahu sidang akhbar di Kaherah bahawa tempoh pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden akan dibuka antara 10 Mac hingga 8 April depan.
Beliau menambah bahawa keputusan pilihanraya akan diumumkan sebelum berakhirnya Jun depan walaupun jika berlaku undi semula. Sultan juga menambah bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya dalam masa terdekat akan mengatur jadual bagi Pilihanraya Presiden.
Pengarah Al-Jazeera di Kaherah, Abd Fattah Fayed berkata, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya belum mengumumkan tarikh yang dinanti-nantikan, yang meliputi hari-hari pengundian dan undi semula jika perlu dan tarikh rayuan keputusan. Beliau menambah bahawa keputusan untuk tidak mengumumkan jadual Pilihanraya Presiden ini membuatkan sebilangan rakyat berasa tidak puas hati.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya berkata, penangguhan jadual pilihanraya dibuat sehingga mereka mendapat penyelesaian yang akan menjamin rakyat Mesir di luar negara dapat mengundi pada waktu yang sesuai sebagai bukti penglibatan mereka dalam menentukan nasib negara adalah benar dan bukan hanya gambaran. Beliau juga membayangkan bahawa jutaan rakyat Mesir di luar negara akan turut mengundi.
Dari sudut yang lain, koresponden Al-Jazeera di Kaherah memberitahu bahawa Jawatakuasa Perundangan di Parlimen Mesir memutuskan hari ini untuk mengkaji semula undang-undang yang dikeluarkan Majlis Tentera sejak mengambil alih pemerintahan negara.
Kajian semula turut diputuskan atas undang-undang yang dikenali sebagai “Undang-undang Bereputasi Buruk” yang telah dikeluarkan semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.