Spekulasi bertiup kencang pilihanraya umum ke-13 akan berlaku pada bulan Jun. Hal itu dijelaskan dengan gerak kerja BN yang semakin banyak di akar umbi dan tekanan semakin kuat ke atas ceramah-ceramah pembangkang.
Begitu juga agensi di bawah tadbiran kerajaan persekutuan yang menyediakan laporan sokongan seperti Kemas, polis dan tentera. Mereka dilaporkan telah mula melakukan kerja-kerja culaan untuk mengukur tahap sokongan rakyat kepada BN.
Sehubungan itu, Dewan pemuda PAS Perak mengesahkan telah bersedia menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa. Dewan pemuda juga setuju dengan saranan presiden PAS agar setiap calon melakukan baiah demi mengelakkan lompat parti yang menumbangkan kerajaan Pakatan Perak pada 2009 lalu
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Salman Haji Saleh berkata, Dewan Pemuda PAS Perak akur dan taat di dalam isu Bai’ah calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti bagi mengelakkan tindakan khianat terhadap rakyat yang telah memilih mereka dan parti yang telah mencalonkan mereka.
“Sepertimana yang telah berlaku di Negeri Perak, di mana beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti PKR dan DAP telah melompat parti dan menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak tahun 2009 dahulu.
“Sepatutnya semua pihak melihat secara positif Bai’ah calon PAS ini kerana ianya menjaga hak dan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat selama ini. Kami cukup bimbang senario lompat parti menjadi amalan di negara kita dan Perak sebagai negeri yang telah menjadi satu sejarah hitam.
“Kami tegaskan menyokong tindakan agar setiap calon PAS mesti melakukan proses Bai’ah demi mengikat mereka agar tidak bertindak khianat kepada Parti dan khasnya rakyat. Sudah tentu Bai’ah calon PAS selama ini dilihat sehingga kini masih utuh tanpa menggadai dan bertindak merosakkan parti yang telah mencalonkan mereka atas nama parti yang mereka sertai. Ini juga kerana setiap individu yang ingin menyertai mana-mana parti perlu mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh parti berkenaan dan kami amat yakin Bai’ah adalah proses yang dibenarkan oleh Islam selama ini,” katanya.