Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran menempelak sikap bermewah-mewah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di Parlimen.
Dalam sidang medianya, Prabakaran menegur sesi makan tengah hari mewah yang didakwa ditaja oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) tersebut.
Katanya, berdasarkan resit yang ada kos untuk jamuan itu berjumlah RM6,525. Kos makanan termasuk udang galah berharga RM2,785, ketam goreng (RM1,950), ayam kampung goreng (RM560), gulai patin tempoyak (RM980), ulam dan sambal (RM75) dan sayur campur (RM175).
“Saya mohon penjelasan daripada ketua whip kerajaan mengenai peruntukan dari kementerian dan GLC itu sebenarnya duit siapa?
“Ini duit rakyat untuk pentadbiran negara ini dan ekonomi.
“Dalam suasana (krisis) Covid-19 ni, apabila rakyat Malaysia hanya makan ubi kentang, mereka (Ahli Parlimen PN) makan udang galah,” katanya.
Prabakaran turut menunjukkan gambar yang dirakamkan semasa jamuan tersebut.
Antara yang hadir ialah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim, Shahidan Kassim (Arau), Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Azmin (Gombak). Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun turut hadir sama.
“Private party yang berlangsung setiap hari di Pejabat Ketua Whip perlu ada penjelasan terperinci kerana ia melibatkan peruntukan dari agensi yang menguruskan dana rakyat.
“Senarai penaja seperti Kementerian Kewangan, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Raya (Mara), Tekun, Prasarana, Felda dan MPOB (Malaysia Palm Oil Board),” dakwanya lagi.
Justeru, Prabakaran meminta penjelasan Azmin Ali selaku Ketua Whip PN mengenai tajaan makanan mewah tersebut.