Kurang 24 jam sebelum Demonstrasi Hijau di Kuantan. Dilaporkan tidak kelihatan sebarang provokasi ke atas perserta yang mula memenuhi ibu negeri Pahang itu dari beberapa lebuh raya utama.
Tinjauan yang dilakukan oleh aktivis, bandar Kuantan masih seperti biasa kecuali hotel dan rumah tumpangan yang agak sesak memandangkan peserta demo telah menempah hotel sejak minggu lalu.
Kekhuatiran tidak mendapat tempat tidur mendorong peserta menempah bilik lebih awal, kata seorang aktivis. Yang lain khuatir sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sekatan jalan raya sebagaimana demo Bersih pada Julai tahun lalu.
Sekatan jalan dibuktikan boleh dikakukan pada bila-bila masa mengambil kira insiden ceramah Anwar di Pekan minggu lalu yang menyebabkan kesesakan sepanjang 5 kilometer.
Bagaimanapun, provokasi yang dijangka akan berlaku dari pihak BN yang menyokong pembinaan projek Lynas masih belum kelihatan.
“Saya akan keluar pada jam 7 pagi esok,” kata seorang peserta.
“Kerajaan BN Pahang sengaja mengubah tempat dari padang MPK 1,2 ke padang MPK 4 yang lokasinya jauh dari tempat asal supaya peserta tidak ramai,” tambahnya.
Namun menurut beberapa aktivis lain suasana akan meriah pada esok hari sekiranya tidak diganggu polis. Mereka membayangkan demo Lynas sebelum ini pada tahun lalu di tepi pantai yang lebih kepada majlis berkelah.
Tetapi sebahagian aktivis lain memberi ingatan, Umno Pahang tidak akan berdiam diri. Berdasarkan kekasaran di ceramah Pakatan Rakyat sepanjang minggu lalu, mereka mengandaikan akan terdapat provokasi pada demo kali ini.
Salah seorang aktivis yang bertugas di Pahang berkata : “UmnoBN di Melaka dan Johor tak ganas mana. Tetapi mereka ambil taktik dalam pilihanraya kecil Kerdau, Pahang tahun lepas. Dalam masa kempen penceramah Pakatan di provokasi di kawasan felda di Kerdau. Taktik itu yang diamalkan sekarang”
Namun pihak pengajur protes Lynas berharap demo akan berjalan lancar dan suara hati rakyat akan didengar oleh kerajaan Pahang.