Pas bergolak menuju PRU 15 apabila ahli-ahli bawahan tidak puas hati dengan perkembangan semasa apabila Pengarah Penyelidikan Pas Pusat Dr. Zuhdi Marzuki berkata, beliaulah antara yang mengusahakan penyatuan Umno – Pas sejak tahun 2011 lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Dato’ Takiyuddin Hassan pula mendakwa beliau menggerakkan usaha penyatuan Pas dan Umno sejak 2015 atas arahan Presiden Pas.
“Kami sekarang keliru. Sekarang kita mengaku usaha menyatukan Pas dan Umno dah lama dah. Sejak 2011. Masa tu Tok Guru Nik Aziz masih hidup. Tok Guru pulak kita pun tahu menentang keras penyatuan Pas dan Umno. Jadi adakah tuduhan Pan (Parti Amanah) kepada kita selama ini betul dan bukan fitnah?” kata seorang ahli Pas Abdul Karim Mahussin, 58, dipetik.
“Sekarang puak Pan tu bersorak gembira sebab ternyata yang mereka kata selama ni adalah benar dan pimpinan kita (Pas) yang duduk nafi selama ini tu bercakap tidak benar. Selama ni kita kata geng Mat Sabu ni dok fitnah Pas nak bersatu dengan Umno. Rupa-rupanya memang betul. Kenapa begitu sekali jadi? Kalau nak gabung dengan Umno sejak dulu, kenapa tak bawak dalam muktamar masa tu. 2011 Tok Guru Nik Aziz ada lagi.
“Bawaklah usul masa tu ke muktamar. Bincang situ dan buatlah keputusan. Ni sampai pecah parti, balah sama sendiri. Sebab ada yang duduk berunding dalam gelap. Pimpinan (Pas) pulak nafi. Kita ahli di bawah ni terpinga-pinga. Kita sekarang jumpa dengan puak Pan ni malu muka berasa sebab memang betul rupanya lama dah ada usaha nak Pas dengan Umno duduk sekali,” ujar beliau lagi.
Rakan beliau pula, Mohtar Said, 50 yang juga mengaku ahli Pas, mempersoalkan sejauh manakah Pas boleh pergi dengan hubungan dengan Umno.
“Umno ni musuh kita (Pas) lama. Apa yang dia (Umno) tak buat kat kita orang-orang Pas. Yang kerja kerajaan kena tukar ke hulu. Tanam padi takleh bantuan. Tanam getah takleh bantuan. Tiba-tiba pimpinan nak suruh kita duduk sekali macam tak ada apa-apa. Mintak maaflah, saya tak boleh terima
“Pimpinan (Pas) janganlah buat kami ahli di bawah ni macam tak ada nilai. Kami pun ada harga diri. Kami sanggup bergaduh dengan puak Pan tu kerana tuduh kami khianat perjuangan dan dah nak kepada Umno. Kami lawan puak Pan ni pilihanraya umum baru ni mati-matian. Kami percaya bila Ustaz Nik Amar kata hanya orang bodoh percaya Pas nak kepada Umno. Tapi rupa-rupanya semua berita tu betul. Kecewa lah kami macam ni,” kata Mokhtar.