Tamrin Ghafar berhasrat untuk saman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung kenyataan yang mengaitkannya dengan projek rundingan langsung stesen pemindahan sisa pepejal.
Dalam satu kenyataan media semalam, Tamrin mengatakan bahawa projek itu sebenarnya diberikan melalui rundingan langsung di bawah pentadbiran BN pada 2017.
“Zuraida pada 28 Ogos menggambarkan seolah-olah projek tersebut diberi secara runding terus oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng kepada syarikat tersebut atas dasar pengelibatan saya dalam syarikat tersebut.
“Untuk makluman projek tersebut telah diberi secara runding terus oleh kerajaan BN atau BN dalam tahun 2017. Menteri KPKT ketika itu ialah Noh Omar,” katanya.
Tamrin menambah bahawa dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah semua projek yang telah diberi secara runding terus oleh BN akan diturunkan atau dikurangkan harga sebanyak 10 peratus daripada harga asal.
“Perkara-perkara lain akan dikemukakan semasa perbicaraan di mahkamah nanti,” katanya.
Sebelum ini, Zuraida mendakwa bahawa Tamrin, sebagai penasihat Bumi Segar Indah, telah berjumpa menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng untuk secara langsung merundingkan projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, pada 26 Nov 2018.