WFAUZDIN NS
Beliau hadir ke Sabah atas urusan mahkamah. Namun sebagai tanda sokongannya kepada anak muda hebat dari Sabah, Sdr Raymond Ahuar yang akan bertanding di Dun Sook, maka kesempatan ini diambil oleh Sdr Rafizi untuk menyatakan sokongannya.
Ramai sebenarnya yang mahu pengasas Invoke ini untuk kembali ke persada politik secara aktif. Tidak pelik jika disebut-sebut bahawa Sdr Rafizi wajar dilantik memangku jawatan Timbalan Presiden Keadilan. Bukan di kalangan ahli parti sahaja, bahkan ianya turut dinyatakan oleh Gerak98 melalui pengerusinya Sdr Ezam Mohd Noor. Ini adalah kerana ketokohannya dan prinsipnya menentang rasuah dan komitmen beliau terhadap agenda reformasi.
Kajian Invoke bukan sahaja mampu meramalkan kejatuhan kerajaan kleptokrasi sebelum PRU14 yang lalu, namun Sdr Rafizi mampu membaca gerak langkah dan strategi Azmin Ali yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden Keadilan. Rafizi berulangkali menyatakan Azmin akan menjadi perosak dan pengkhianat parti sekiranya masih diberi tempat di dalam Keadilan. Waktu itu, ramai merasakan Rafizi cuba untuk mencemar imej Azmin. Rafizi dituduh cemburu dan iri hati dengan kedudukan Azmin waktu itu.
Atas keyakinan itulah Rafizi berani mencabar Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden. Beliau sedar beliau mengambil risiko besar untuk berdepan dengan Azmin yang waktu itu adalah penyandang jawatan Timbalan Presiden dan Menteri Ekonomi. Segala-galanya ada pada Azmin, bukan sahaja wang ringgit bahkan dengan kuasa dan pengaruhnya selaku Timbalan Presiden dan Menteri Ekonomi iaitu salah satu jawatan kanan dalam kerajaan.
Akhirnya, terbukti telahan dan bacaan politik Rafizi tepat. Azmin telah mengkhianati partinya sendiri dan lebih dahsyat lagi tokoh yang kontroversi dalam isu video Sandakan ini tergamak menjatuhkan kerajaan PH yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU14 yang lalu.
Itulah hebatnya Rafizi. Tidak pelik kemunculannya di arena politik secara aktif ditagih oleh rakyat. Beliau mampu mencuri perhatian rakyat berbilang kaum yang sukar dilakukan oleh mana-mana pemimpin kecuali Anwar Ibrahim. Kita mendoakan kemunculannya seberapa segera. Adakah di Sabah langkah pertamanya?