Bank-bank di Amerika Syarikat (AS) menamakan Malaysia sebagai destinasi pengubahan wang haram, mendorong bank-bank tersebut menandakan pelbagai transaksi yang melibatkan firma-firma Malaysia sebagai “mencurigakan”.
Malaysia disenaraikan sebagai negara dengan “bidang kuasa berisiko tinggi untuk pengubahan wang haram dan jenayah kewangan” di samping negara-negara seperti Angola, Togo, Kemboja, Niger, Indonesia, Kepulauan Virgin Britain.
Ini berdasarkan beberapa laporan yang didedahkan melalui dokumen yang bocor.
Malaysiakini meneliti laporan oleh bank-bank AS itu yang difailkan kepada Perbendaharaan AS, sebagai sebahagian daripada penyiasatan fail FinCEN yang diketuai oleh Konsortium Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan BuzzFeed News.
Fail FinCEN melibatkan sejumlah laporan aktiviti mencurigakan (SAR) yang failkan oleh bank-bank kepada Jaringan Penguatkuasaan Jenayah Kewangan Perbendaharaan AS (FinCEN), yang mengumpulkan maklumat untuk memerangi pengubahan wang haram atau jenayah kewangan lain.
Sembilan bank Malaysia ditandakan sebagai mempermudah transaksi mencurigakan bernilai lebih AS$18 juta (kira-kira RM75.76 juta).
Bank berkenaan adalah OCBC Bank, Public Bank, United Overseas Bank, AmBank, Standard Chartered, CIMB, Alliance Bank, HSBC Bank dan Maybank.
Bank-bank Malaysia mempunyai akaun koresponden (wakil) dengan bank-bank AS, yang memudahkan pemindahan dana antarabangsa dan penyelesaian transaksi.
Sekatan dan sumber yang tidak diketahui
Bank-bank Malaysia ditampilkan dalam laporan aktiviti yang mencurigakan atas pelbagai sebab, bermula daripada menjadi “bidang kuasa berisiko tinggi” hinggalah mempermudah pembayaran yang didapati melanggar sekatan AS.
Nilai urus niaga juga berkisar antara beberapa ratus ehingga beberapa ratus ribu dolar AS.
Dalam kes transaksi berkaitan 1MDB – kendalian AmBank – jumlahnya melibatkan berjuta-juta dolar AS.
Satu bank yang berulang kali memaklumkan Malaysia sebagai “destinasi berisiko tinggi untuk pengubahan wang haram dan jenayah kewangan” adalah Bank of New York Mellon (BNYM).
Dalam satu laporannya, BNYM menandakan enam pindahan kawat “mencurigakan” kira-kira AS$230,000 (kira-kira RM950,000) yang dikendalikan HSBC Malaysia.
Laporan itu menyebut, “pelanggan pesanan yang sebenarnya tidak dapat dikenal pasti” dan “sumber dana dan tujuan transaksi tidak dapat dipastikan”.
Begitu juga, JP Morgan Chase mengatakan Maybank memudahkan sembilan kawat bernilai AS$429,795 (RM1.78 juta) dari sebuah firma di Bahrain ke sebuah syarikat “perkhidmatan wang dan pembayaran digital” Malaysia.
Pengirim menyatakan urus niaga itu untuk “melindungi” akaun mereka, kata bank AS itu.
Bank merasakan urus niaga itu “mencurigakan” kerana melibatkan “urus niaga dolar yang banyak dilakukan dengan penghantar dan penerima yang tidak diketahui, serta atas tujuan ekonomi yang juga tidak diketahui” – semua ditandakan merah sebagai pengubahan wang haram.
Ketika dihubungi oleh ICIJ, bank-bank AS berkata pihaknya tidak dapat memberikan komen kerana SAR adalah sulit.
Bukan bukti jenayah
Bank AS diwajibkan untuk memfailkan SAR dalam tempoh 60 hari dari masa aktiviti mencurigakan yang dikesan, tetapi Perbendaharaan AS berkata laporan SAR bukan bukti jenayah.
Ini serupa dengan laporan transaksi mencurigakan (STR) yang mana institusi kewangan diminta untuk menyerahkan kepada Bank Negara Malaysia apabila mensyaki berlaku transaksi mencurigakan.
Bagaimanapun, di Malaysia, STR mesti difailkan dalam tempoh hari bekerja berikutnya selepas mengesan kecurigaan itu.
Seperti SAR, STR juga bersifat sulit dan pelanggaran kerahsiaan boleh menyebabkan hukuman penjara.
Dalam banyak kes, laporan yang difailkan oleh bank AS dibuat selepas terdapat laporan berita negatif yang melibatkan beberapa pihak dalam urus niaga tersebut. Tidak semua yang disebut dalam SAR mempunyai kaitan langsung dengan unsur jenayah yang disyaki.
Dalam beberapa keadaan yang diteliti oleh Malaysiakini, kaitan dengan elemen jenayah sebenarnya agak lemah.
Sebagai contoh, satu SAR yang difailkan oleh Standard Chartered AS ditimbulkan oleh laporan pengubahan wang haram berkaitan pemimpin Libya Muammar Gaddafi.