Kemerosotan ekonomi negara akibat pandemik Covid 19 yang masih belum pulih mewajarkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan pengecualikan sewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) selama 6 bulan sehingga Mac 2021.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, hal itu perlu diberi keutamaan kerana golongan yang menyewa PPR dan PA kebanyakannya dalam kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.
“Dalam pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian pembayaran sewa 6 bulan bagi penyewa PPR dan PA di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Maka, para penyewa PPR dan PA perlu bayar sewa mulai bulan ini.
“Saya cadangkan pengecualian sewa PPR dan PA itu dilanjutkan sebab perangkaan menunjukkan ekonomi negara masih berada di tahap yang genting.
“Rakyat kebanyakan masih hidup dalam keadaan tertekan, aktiviti ekonomi juga belum pulih dari kesan pandemik Covid 19,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Chang lagi, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara ASEAN, iaitu penyusutan KDNK sebanyak 17.1% dalam suku kedua tahun 2020.
Kadar pengangguran pada Julai pula, katanya, sekitar 4.7% bersamaan 745,100 orang, berbanding dengan kadar pengangguran 3.3% pada Julai 2019. Bulan Ogos 2020 juga mencatatkan kadar pengangguran sama seperti Julai, iaitu 4.7%.
Sehubungan itu, Chang berpendapat kerajaan PN harus lebih prihatin terhadap rakyat yang bergelut untuk menangani tekanan kewangan yang kian meningkat.
“Puluhan ribu penyewa PPR dan PA merupakan golongan B40 yang menghadapi masalah kewangan paling ketara dalam kemelut ini. Bayaran pinjaman bank selepas tamatnya moratorium sudah memberi kesan kewangan yang cukup besar ke atas keluarga-keluarga ini. Kalau kerajaan enggan lanjutkan tempoh pengecualian sewa maka ramai di kalangan mereka akan menderita.
“Pengecualian sewa PPR dan PA untuk 6 bulan hanya melibatkan kos sebanyak RM3 juta. Jumlah kos ini tidak besar untuk sesebuah kerajaan, tetapi akan dapat membantu puluhan ribu penyewa. Maka, kerajaan harus memberi pertimbangan yang serius atas saranan ini,” kata Ahli Parlimen Tanjong Malim itu lagi.