Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap calon Perdana Menteri (PM) terbaik di tengah-tengah kegawatan pandemik Covid 19, kejatuhan ekonomi dan keruntuhan sifat manusiawi dalam kalangan rakyat Malaysia kebelakangan ini.
Mantan pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Badrulamin Bahron berkata, hadis Nabi Muhamad s.a.w jelas menyebut, apabila kita melantik seseorang sebagai pemimpin sedangkan ada orang lain yang lebih baik agamanya, ilmunya, akhlaknya, kita telah khianat kepada Allah dan Rasulnya.
“Ini bukan persoalan siapa nak jadi PM, kalau kita baca komen dalam Facebook, siapa pun PM kita macam ini juga. Kita cari kerja, cari makan.
“Ini bukan soal makan tak makan. Ini soal keprihatinan kepada nasib umat dan soal amanah. Nabi sebut, bila amanah diberi kepada orang yang tidak layak maka tunggu saat kehancuran.
“Kehancuran itu pelbagai bentuk, bukan hanya sosial, politik malah kemanusiaan. Dalam polemik politik hari ini, saya lihat nilai kejujuran sudah tidak ada. Bila agama diketepikan. Tohmah mentohmah satu sama lain. Kita sering tuduh menuduh satu sama lain, fitnah memfitnah.
“Nilai ini bagi saya sudah cukup membawa kehancuran sifat manusiawi. Adakah kehancuran lain yang lebih hebat daripada kehancuran insaniah?
“Bangunan, jalan raya, jambatan yang roboh kita boleh tegakkan dalam dua tiga bulan. Tetapi insaniah yang roboh akan menyebabkan kehancuran yang berterusan. Kerana manusia tanpa kemanusiaan akan jadi syaitan yang bertopengkan manusia,” katanya dalam sidang media Gabungan Reformis Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr Badrul, beliau amat yakin dengan pegangan agama yang mantap dan akhlak yang mulia dimilikki Anwar mampu membawa pemulihan kepada negara yang sedang sakit dari pelbagai segi sama ada ekonomi, sosial dan rohani rakyatnya.
“Apa pun kita menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong yang sudi menerima (mengadap) calon dari Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar, seorang tokoh pejuang reformis rakyat yang sejarahnya membuktikan beliau adalah orang yang paling layak dinobatkan sebagai pemimpin negara yang tercinta
“Saya tidak mendewakan Anwar sebagai Anwar. Tetapi wataknya, akhlaknya, peribadinya bagi saya, mengenali Anwar dengan lebih dalam penting untuk kita mengetahui siapa dia sebenarnya,” kata beliau lagi.