Cadangan kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon kepada Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan pelaksanaan darurat di seluruh negara merupakan langkah menuju kediktatoran.
Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, darurat hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat unsur ancaman kepada keselamatan, bukannya akibat ancaman virus Covid 19 yang boleh ditangani dengan cara-cara biasa.
“Saya mengikuti rapat laporan-laporan yang mengandaikan bahawa kerajaan sedang mempertimbang untuk melaksanakan darurat bagi menyekat proses Parlimen.
“Hari ini kita sedang menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya, yakni mempunyai sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan dan sedang menggunakan wabak Covid-19 untuk memungkin penyalahgunaan kuasa.
“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bila mana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.
“Saya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan pentingkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Presiden KEADILAN itu lagi, perisytiharan darurat akan menonjolkan kelemahan dan kekurangan kerajaan PN dalam menghadapi pandemik Covid 19 serta ketidaktentuan ekonomi.
Katanya, negara-negara di rantau Asia memikirkan cara untuk menggerakkan ekonomi, sebaliknya Malaysia memilih mengambil langkah berisiko demi mengekalkan kuasa kerajaan pintu belakang.
“Dengan langkah ini, maka kerajaan PN yang tidak ada keabsahan ini telah menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.
“Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang mengundur kebelakang.
“Kita masih belum mengetahui apa strategi kerajaan dalam mengemudi krisis ini, tetapi apa yang terpamer adalah pemerintah merasakan strategi ampuh untuk melawan dampak wabak adalah dengan melemahkan demokrasi.
“Apa yang kita perlukan dalam mendepani wabak Covid-19 adalah ketelusan, kebertanggungjawaban dan dasar yang jelas oleh pelbagai kementerian. Pemerintah telah gagal menonjolkan kepimpinan yang berkualiti saat wabak, malah telah mengambil langkah yang mencurangi demokrasi untuk terus berkuasa,” katanya lagi.
Cadangan pelaksanaan darurat tersebar di media massa sejak berakhirnya mesyuarat khas kabinet Muhyiddin di Putrajaya tengah hari tadi.
Spekulasi bertiup kencang apabila kenderaan rasmi PM dilihat memasuki Istana Abdulaziz di Kuantan petang tadi dalam misi yang dianggap pemerhati politik untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengisytihar darurat pemerintahan dalam waktu terdekat.
Rombongan Muhyiddin dilaporkan turut diiringi kenderaan rasmi Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang.