Protes untuk menghentikan projek loji Lynas yang menghasilkan radioaktif bukan sahaja ditentang oleh aktivis parti pembangkang mahu pun aktivis alam sekitar. Tetapi juga oleh pemimpin BN.
Ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh kecewa dengan sikap MCA yang mengambil tindakan displin ke atas Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota David Choi yang menunjukkan penentangan ke atas projek Lynas.
“Saya ingin menyatakan pendirian dan kenyataan solidariti kumpulan Stop Lynas kepada David Choi Ketua Pemuda MCA Indera Mahkota berkenaan surat tunjuk sebab yang diajukan oleh Komiti Disiplin MCA ke atas beliau.
“Antara dua dari dua puluh sebab tindakan disiplin yang dikenakan keatas beliau ialah pendirian beliau dalam kempen Stop Lynas yang dikatakan bertentangan dengan pendirian parti. Juga pendirian beliau yang dikatakan selalu bertentangan dengan Ketua bahagian MCA Indera Mahkota Phang Tsu Ming.
“Saya nyatakan di sini pergerakan kumpulan Anti Lynas ialah bipartisan dan mengalu-alukan penyertaan sesiapa sahaja yang menolak kehadiran LAMP di Gebeng,” kata Fuziah.
Naib Presiden KEADILAN itu kesal dengan sikap yang terlalu kepartian ditunjukkan oleh MCA dalam isu Lynas yang menjejaskan kesihatan rakyat terbanyak.
“Tindakan David Choi yang berdiri bersama rakyat di dalam menentang projek Lynas ialah satu paerkara yang terpuji demi keselamatan rakyat. Ianya tidak seharusnya di politikkan.
“Di dalam negara yang menjunjung prinsip demokrasi, setiap individu ada hak untuk mempunyai pendirian peribadi di atas sesuatu perkara. Malah Dr Che Rosli, Ahli Parlimen dari PAS juga tidak mempunyai pendirian yang sama dengan pendirian Pakatan Rakyat dalam isu LAMP.
“Akan tetapi Pakatan Rakyat mahupun PAS tidak pernah kenakan tindakan disiplin ke atas beliau walaupun beliau pernah menghentam saya secara terang-terangan di dalam media arus perdana,” katanya.
Tegas Fuziah, kumpulan yang menentang kehadiran LAMP di Gebeng sedia berdiri dalam solidariti bersama-sama dengan David Choi untuk terus menentang LAMP sehingga ianya dihentikan.