Aktivis Pakatan Rakyat (PR) diseru agar mempergiatkan usaha penerangan perjuangan parti masing-masing menggunakan medium media alternatif. Termasuklah media facebook dan twitter.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Gombak, Ustaz Sallehuddin Nasir PR kekurangan liputan media arus perdana namun kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan seluruh Asia Barat hari ini tidak lagi bergantung kepada media konvensional sebaliknya lebih tertumpu kepada media on line yang baharu.
“Kita menyeru agar semua aktivis, ahli PAS, DAP, PKR mempergiatkan laman-laman web, blog dan facebook untuk membantu kita menyebarkan informasi-informasi terkini.
“Memandangkan kita hanya mempunyai media alternatif yang terhad maka seharusnya semua ahli berperanan menyebarkan maklumat ini kepada rakyat tanpa jemu,” katanya.
Menurutnya lagi, Umno-BN begitu gerun dan takut dengan media PR sehinggakan mereka telah merangka pindaan undang-undang Akta Mesin Cetak yang dijangka akan mengenakan permit tertentu kepada blogger, pengendali web dan facebook. Rang undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada sessi Mac akan datang.
“Umno-BN cuba membuat sekatan ke atas blogger, internet, facebook dan berbagai lagi bagi memastikan rakyat tidak mendapat informasi-informasi terkini yang berlaku di negara ini khususnya negeri-negeri di bawah Kerajaan Negeri PR.
“Selain dari itu berkemungkinan blogger-blogger yang menyebarkan maklumat tersebut (sensitif) juga akan dikenakan ISA.
“Ini bertujuan menakut-nakutkan rakyat. Walau bagaimanapun kita yakin dengan pertolongan Allah swt. Kuasa di tangan rakyat bukan di tangan Umno-BN.
“Ambillah pengajaran peristiwa di Mesir di mana pemimpin mereka telah ditolak oleh rakyat kerana kezaliman, rasuah dan sebagainya.
“Ini boleh berlaku di Malaysia apabila rakyat telah hilang pertimbangan berikutan pelbagai bantahan rakyat dalam memperjuangkan kebenaran,” katanya.
Dalam isu yang sama, Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa pada Januari lalu pernah mencadangkan agar aktivis PR mencetak bahan-bahan yang diambil dari internet untuk disebarkan sebagai risalah.
Katanya, dalam kempen kem Presiden Barack Obama, para sukarelawan kempen mencetak bahan-bahan bernilai berkenaan polisi dan berita Obama yang diambil dari internet untuk dicetak dan diedar secara percuma kepada rakyat.
“Di A.S sukarelawan kem Obama mencetak bahan-bahan dari laman web dan diedar kepada rakyat. Di Malaysia cara ini boleh digunakan, cetak dari internet dan edarkan ke kawasan yang masih belum ditembusi internet, seperti kawasan luar bandar, felda dan sebagainya,” ujar Husam di Majlis Ramah Mesra MB Kelantan Bersama Bloggers yang berlangsung di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur 15 Januari lalu.
– Sebarang sumbangan berita/kenyataan media/artikel/komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.