Sejak menjadi Ahli Parlimen pasca 9 Mei 2018 yang lalu, salah satu beban yang saya akan pikul hingga ke akhirat adalah beban kebajikan rakyat di Simpang Renggam.
Masa berlalu dan semakin lama saya turun berjumpa dengan penduduk dan masyarakat bawahan, semakin terdedah kesusahan penduduk khususnya warga kampung di kawasan-kawasan tertentu.
Sebahagian besar mereka ini kadangkala tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk seluruh keluarga.
Ketika PKP bermula Mac 2020 lalu, semakin ramai keluarga yang terkesan dengan PKP tidak lagi mempunyai bekalan wang untuk membeli barangan dapur untuk dimasak.
Sehingga Jun 2020, Pejabat Parlimen Simpang Renggam sebenarnya telah mengedarkan sehingga 4,490 pek makanan kepada lebih dari 4,490 keluarga yang terkesan.
Hari ini, sekali lagi COVID-19 menekan kita dan pastinya yang akan terduduk dan jatuh tersungkur sehingga tak punya bekalan makanan adalah mereka yang tergolong dalam kalangan keluarga B40 yang miskin dan rentan.
Apa yang terjadi telah terjadi, dan apa yang berlaku akan tetap berlaku.
Walaubagaimanapun saya tetap percaya bahawa apa juga yang berlaku, tidak seharusnya seorang pun rakyat di Simpang Renggam harus berlapar dalam keadaan hari ini.
Oleh yang demikian hari ini, atas semangat dan kesedaran tersebut saya hadir untuk menawarkan peluang kepada mereka yang sangat terkesan dan sangat memerlukan.
Keluarga miskin, ibu tunggal, keluarga dengan anak OKU malah sesiapa sahaja yang pada hari ini, tidak mempunyai bekalan makanan di rumah untuk dimakan bersama keluarga, boleh memohon pek makanan dalam program #SimpangTakLapo! ini.
Projek untuk memastikan tiada insan kelaparan di Simpang Renggam ini akan mengedarkan 1,000 pek makanan kepada 1,000 keluarga yang terkesan akibat COVID-19.
Sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan segera boleh memohon di sini:
bit.ly/simpangtaklapo
Insya-Allah 50 pek terawal kepada 50 pemohon yang mengisi borang boleh diambil seawal petang ini jam 3.00 petang di Pejabat Parlimen Simpang Renggam.
Sekiranya ada penduduk yang benar-benar mempunyai kekangan untuk datang mengambil pek makanan di Pejabat Parlimen, boleh maklumkan kepada Pegawai di Pejabat Parlimen (01139697288).
Saya mohon agar bantuan ini disebarluaskan agar ia sampai kepada seluruh warga Simpang yang memerlukan.
Insya-Allah sama-sama kita pastikan tak ada insan yang kelaparan di Simpang.
Simpang Tak Lapo!