Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat hampir pasti kalah apabila beliau mengeluarkan kenyataan akan meminta penglibatan Mahkamah Agong dalam mempertimbang dan menyemak keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 yang disifatkan tidak konklusif.
Menurut media antarabangsa, The Associated Press sehingga kini AS masih belum mengumumkan pemenang bagi pemilihan.
Dalam ucapannya, di Rumah Putih pada awal pagi Rabu (waktu tempatan), Trump meluahkan kekesalan di atas keputusan pilihan raya yang tidak lengkap dan menyifatkan proses itu sebagai ‘penipuan terbesar berlaku di negara AS’.
Malam hari pengundian pilihan raya itu berakhir dengan ratusan ribu undi masih sedang dalam proses pengiraan, dengan hasil keputusan di beberapa negeri penting diperlukan Trump sekiranya mahu menewaskan calon parti Demokrat, Joe Biden, masih samar.
“Kita akan merujuk perkara ini kepada Mahkamah Agong AS – kami mahu semua proses pengundian dihentikan. Sepatutnya, sudah tidak ada aktiviti mengundi, hanya pengiraan undi sahaja,” kata Trump. -CNA